Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS mahu akta 'ikat' mahkamah dengan fatwa
Diterbitkan:  Jul 28, 2017 5:13 PM
Dikemaskini: 9:16 AM

Anggota parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mencadangkan, satu akta digubal untuk memberi kuasa undang-undang kepada fatwa negeri agar dijadikan rujukan bagi 'mengikat' Mahkamah Sivil dalam isu berkaitan Islam.

Cadangan itu dibuat ekoran keputusan Mahkamah Rayuan mengenai isu anak luar nikah yang boleh dibinkan dengan bapa.

Menurut Khairuddin yang juga ketua penerangan Dewan Ulama PAS, keputusan Mahkamah Rayuan itu menimbulkan polemik tentang sejauh mana Islam dan hukum syarak menjadi panduan dan mengikat penghakiman di Mahkamah Sivil yang melibatkan isu-isu hukum syarak.

Katanya, umum mengetahui bahawa Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 3 menyebut Islam adalah agama persekutuan.

Justeru, jelasnya, ia sepatutnya memberi maksud Islam menaungi dan menjadi rujukan utama bagi segala tindak tanduk bernegara dan menaungi serta menjadi rujukan kepada segala peruntukan undang-undang negara.

Tetapi, katanya, ternyata artikel itu belum diberi hak tafsiran yang sepatutnya untuk mengikat segala penghakiman di Mahkamah Sivil dengan Islam, katanya lagi.

"Di sinilah perlunya satu akta dicadangkan di parlimen untuk memberikan kuasa undang-undang kepada fatwa-fatwa negeri bagi dijadikan rujukan yang mengikat Mahkamah Sivil dalam isu-isu bersabit dengan Islam.

"Peruntukan undang-undang negeri ini sepatutnya menjadi rujukan utama kepada Mahkamah Sivil dalam menentukan penghakiman dalam isu-isu bersabit.

"Namun, dalam kes penghakiman Mahkamah Rayuan, seksyen ini tidak diberi pertimbangan sewajarnya kerana mahkamah hanya membataskannya kepada pendaftaran semata-mata walaupun pendaftaran tersebut mempunyai implikasi terhadap undang-undang Islam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, dalam kes Mahkamah Rayuan ini, Seksyen 110 hingga 119 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 yang telah memperuntukkan tentang kesahtarafan anak sepatutnya dirujuk.

Seksyen 110 lebih khusus memperuntukkan siapakah yang dikaitkan sebagai bapa bagi orang Islam.

"Penghakiman Mahkamah Rayuan ini lebih malang lagi mendedahkan bahawa fatwa langsung tidak menjadi rujukan dan tidak mengikat Mahkamah Sivil dalam isu-isu bersabit hukum," katanya lagi.

Kerajaan dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semalam, memfailkan permohonan untuk kebenaran merayu daripada Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan penting Mahkamah Rayuan itu.

Mahkamah Rayuan juga memutuskan bahawa fatwa mengenainya oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai kuasa undang-undang.

Lihat Komen
ADS