Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zuraida guna kedudukan tangguh bayaran firma, dakwa bekas MB

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa Ahli Parlimen PKR, Zuraida Kamaruddin menggunakan kedudukannya untuk melobi syarikat kerajaan negeri, Yayasan Selangor bagi menangguhkan bayaran daripada sebuah firma milik anggota akar umbi parti.

Bagaimanapun MP Ampang itu menafikan beliau bertindak bagi firma berkenaan.

Khalid, melalui mesej yang disampaikan kepada Malaysiakini menerusi pembantunya, Faekah Hussein, berkata Yayasan Selangor memberikan pertimbangan sewajarnya bagi isu itu diselesaikan.

“Yayasan Selangor telah memberi pertimbangan yang mencukupi untuk menyelesaikan isu-isu dan bayaran yang akan dibuat kepada Yayasan Selangor.

“YB Zuraida telah menggunakan kedudukannya untuk menangguhkan dan tidak cuba membuat pembayaran,” katanya.

Khalid berkata demikian apabila diminta mengulas laporan Yayasan Selangor yang ditandatanganinya pada 17 September 2013.

Dokumen itu dibocorkan oleh kumpulan yang dikenali sebagai Inspirasi Melayu Gombak (Impak) pada 24 Julai lalu.

Zuraida dan seorang bekas ADUN PKR disebut dalam laporan itu. Ia juga menyebut bahawa firma berkenaan berhutang RM233,830 dalam bentuk sewa dan deposit kepada Yayasan Selangor.

Menurut laporan itu, berdasarkan perbincangan dengan Zuraida dan seorang lagi bekas ADUN berkenaan pada 22 Okt 2013, kedua-dua wakil rakyat itu akan menyelesaikan masalah hutang tersebut dan MB akan membantu.

Hutang itu sepatutnya dibayar pada 5 Sept 2013 tetapi Impak mendakwa bahawa tiada sebarang pembayaran dibuat.

Catatan Khalid, bersebelahan tandatangannya berbunyi "Teruskan dengan tindakan undang-undang."

Menurut Impak, tiada tindakan undang-undang diambil terhadap firma itu. Khalid berundur dari pejabat menteri besar pada 22 Sept 2014.

Sementara itu, Zuraida menafikan menjadi orang tengah bagi firma itu dan hairan mengapa nama beliau dikaitkan dalam laporan oleh Yayasan Selangor.

"Saya tidak tahu mengapa nama saya disebut,” katanya kepada Malaysiakini.

Beliau juga menafikan pernah membantu firma, yang dimiliki oleh pemimpin akar umbi PKR dari Selangor itu.

"Saya harap ini bukan sebahagian daripada kempen untuk memburuk-burukkan saya," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi pemimpin akar umbi PKR dan syarikat tersebut namun tidak mendedahkan nama mereka sehingga mendapat maklum balas dari mereka.

Malaysiakini juga telah menghubungi Yayasan Selangor berhubung perkara sama, namun gagal apabila pihak Yayasan Selangor memaklumkan individu yang boleh memberi maklum balas tidak ada.

Malaysiakini juga cuba berhubung dengan pejabat Menteri Besar Selangor tetapi diberitahu supaya berhubungan dengan penasihat undang-undang kerajaan negeri Nik Suhaimi Nik Sulaiman.

Pihak kami juga diarahkan untuk menghantar e-mel kepada Nik Suhaimi namun masih tiada respon darinya ketika berita ini disiarkan.

Lihat Komen
ADS