Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR gesa Zahid hormat proses kehakiman
Diterbitkan:  Jul 30, 2017 2:15 PM
Dikemaskini: 6:41 AM

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) perlu menghormati proses kehakiman berkaitan penamaan anak tidak sah taraf, kata Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Latheefa Koya.

Ini berikutan kenyataan timbalan perdana menteri itu agar umat Islam bersatu bagi menghadapi mana-mana pihak yang mencabar Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Zahid menggesa kesatuan umat Islam terhadap keputusan ini. Terhadap siapa?

“Saya belum pernah menyaksikan keadaan di mana seorang timbalan perdana menteri begitu tidak menghormati proses kehakiman. Mungkin kenyataan sebegini boleh dikeluarkan ketua pemuda, tetapi bukannya dari TPM sendiri," kata Latheefa dalam satu kenyataan.

Kenyataan Zahid dibuat dua hari selepas mahkamah rayuan memutuskan anak luar nikah boleh dibinkan dengan bapa dan fatwa mengenainya oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai kuasa undang-undang.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang menulis keputusan sebulat suara itu, berkata bidang kuasa ketua pengarah JPN adalah sivil dan terbatas untuk menentukan sama ada si bapa telah memenuhi syarat-syarat Seksyen 13A (2) Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA).

Menurut Latheefa, JPN dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhak membuat rayuan berhubung kes itu, namun malangnya Zahid cuba mengapi-apikan keadaan.

“Keputusan mahkamah rayuan mengikat JPN dan kerajaan secara sah, sehingga dan kecuali keputusan tersebut diketepikan Mahkamah Persekutuan.

"Ini merupakan keputusan mahkamah rayuan yang melaksanakan tugas-tugas dan tanggungjawab sebagai sebahagian daripada institusi kehakiman,” kata Latheefa.

Tambahnya, kenyataan Zahid akan memberi tekanan kepada mahkamah sebelum isu tersebut dibawa ke mahkamah persekutuan.

“Biarlah mahkamah membuat keputusan berasaskan undang-undang dan perlembagaan tanpa tekanan atau kenyataan dibuat oleh pimpinan kerajaan,” katanya.

Latheefa turut menyifatkan fatwa berkenaan isu tersebut tidak adil dan akan mendatangkan kesan buruk serta mengaibkan secara terbuka anak-anak yang dilahirkan di luar nikah.

“Ini kerana Islam mengajar kita bahawa setiap anak itu dilahirkan tanpa dosa dan tidak boleh diaib atau dihukum kerana dosa-dosa ibu bapa mereka,” katanya.

Lihat Komen
ADS