Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Umno terus kukuh tanpa Onn Jaafar, Mahathir

Pendirian Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak kembali ke pangkuan Umno tidak sedikit pun akan menjejaskan kekuatan parti itu, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Presiden Umno berkata ini kerana kekuatan utama Umno bukan terletak kepada individu mahupun presiden, tetapi ditunjangi perpaduan dalam kalangan tiga juta anggotanya di seluruh negara.

Katanya sejarah Umno telah membuktikan parti itu terus kukuh walaupun pengasasnya Datuk Onn Jaafar sendiri pernah meninggalkan parti itu dan tindakan itu sedikitpun tidak memberi kesan kepada parti.

"Sehingga kini ia masih mampu berdiri kukuh dan terus kekal subur. Sebab itu apabila Dr Mahathir kata dia tidak akan kembali kepada Umno, go ahead… tak jadi masalah pun kepada Umno.

“Saya bukan takbur, saya bukan hina dia kerana saya sedar dan tawaduk bahawa menjadi presiden parti pun tidak kuat, sebaliknya yang kuat adalah lebih tiga juta ahli Umno yang sokong kepemimpinan presiden," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Lipis di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis hari ini.

Persidangan turut dihadiri oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Ketua Umno Bahagian Lipis Datuk Abdul Rahman Mohamad dan Timbalannya Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.

Rugi di zaman Mahathir

Najib turut menempelak Dr Mahathir yang sering membuat serangan terhadap dirinya terutama dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedangkan beliau (Mahathir) sendiri gagal ketika mentadbir dengan mengalami kerugian berbilion ringgit.

“Zaman Dr Mahathir, dia tak pedulikan sangat tentang pengangkutan awam. Semuanya bailout, LRT bailout, monorel bailout, bas bailout… semuanya gagal, tetapi kita berjaya menyiapkan MRT dengan kos yang berpatutan

“Saya bukan nak mengutuk, tetapi saya bercakap benar, saya sebut dia gagal sebab Proton kita kena selamatkan dengan beri RM1.5 bilion dan tambah lagi RM1.5 bilion, MAS rugi, Perwaja rugi, Bakun rugi dan macam-macam lagi rugi. Zaman dia kita kerugian sebanyak RM33 billion akibat pertukaran asing (forex), siapa nak jawab.

“Dia asyik sebut pasal 1MDB sedangkan kita ada tanah dan aset yang boleh tarik pelabur dan mengembalikan semula keuntungan. Tetapi RM33 billion itu siapa nak jawab… Dr Mahathir nak jawab? Jawablah di RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) nanti,” kata Najib.

Dalam pada itu, perdana menteri dalam ucapannya sekali lagi menegaskan bahawa menukar kerajaan yang sedia ada bukanlah jaminan dan jalan penyelesaian terbaik kepada semua masalah, malah dikhuatiri akan lebih memudaratkan negara dan rakyat.

Iktibar Arab Springs

Katanya rakyat seharusnya mengambil iktibar daripada peristiwa kebangkitan rakyat atau Arab Springs yang menyaksikan banyak negara Timur Tengah seperti Iraq, kini bergolak.

“Menukar kerajaan bukan penyelesaian, kalau lebih baik masuk akal… kalau lebih buruk, lebih mendatang bala dan bencana serta lebih tidak menentu, lebih mendatangkan bala dan bencana… itu bodoh punya kerja… Minta maaf terpaksa kata.

“Doktor saya di IJN (Institut Jantung Negara) bagi tahu ada pesakitnya orang Iraq apabila tanya mana lebih baik dahulu atau sekarang, dia kata seburuk-buruk zaman Presiden Saddam Hussein sekurang-kurangnya mereka ada makanan di atas meja, anak boleh ke sekolah, keadaan negara aman,” katanya.

​​Kata Najib, Malaysia telah melalui banyak fasa pembangunan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) baik di kawasan bandar dan luar bandar dengan pelaksanaan projek-projek ekonomi berimpak tinggi selain kebajikan rakyat sentiasa dibela.

“Sehingga hari ini pakar-pakar ekonomi mengatakan Malaysia hari ini berjaya terlepas daripada perangkap pendapatan pertengahan. Malaysia kini merupakan negara ke-25 paling berdaya saing dunia. Perkembangan ekonomi negara kita juga diramalkan boleh menghampiri tahap lima peratus.

“Malaysia bukan negara gagal, kenapa perlu menukar kerajaan kalau kerajaan sedia ada boleh membantu rakyat dan membangunkan negara,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS