Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Isu tuntut takhta Terengganu tak boleh dihakimi, kata hakim

Tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa tuntutan takhta Sultan Terengganu oleh Tengku Sulaiman Tengku Abdul Halim, cucu tertua Tengku Ali Sultan Sulaiman, adalah "res-judicata" dan tidak tertakluk kepada perbicaraan di mahkamah.

Res-judicata adalah istilah undang-undang yang bermaksud perkara yang telah diadili oleh mahkamah dan tidak boleh diteruskan oleh pihak yang sama.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, yang mengetuai panel tiga anggota tersebut, berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk membatalkan tuntutan itu tanpa meneruskan perbicaraan adalah dibenarkan.

Beliau juga mengarahkan Tengku Sulaiman membayar kos RM15,000. Hakim lain ialah Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Hasnah Mohamed Hashim.

Peguam Tengku Sulaiman, T Mura Raju, menyatakan bahawa mereka akan memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan kerana ada isu undang-undang mengenai perlembagaan Terengganu.

Datuk kepada Tengku Sulaiman iaitu Tengku Ali, adalah Sultan Terengganu daripada 26 September 1942 hingga 5 November 1945, selepas moyangnya Sultan Sulaiman meninggal dunia semasa pendudukan Jepun.

Tengku Ali digulingkan dan digantikan oleh bapa saudaranya, Tengku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III, yang kemudiannya menjadi sultan.

Anak sulung Tengku Ali iaitu Tengku Abdul Halim, adalah bapa Tengku Sulaiman.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada Mei tahun lepas, Tengku Sulaiman menamakan Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, Isa @ Ghazali Endut, Tengku Ibrahim Tengku Hussain, Syed Omar Abdul Kadir Al Idrus dan Sheikh Harun Sheikh Ismail, yang merupakan anggota Dewan Pangkuan Diraja Terengganu dan kerajaan Terengganu, sebagai defendan.

Dia mendakwa sebagai cucu tertua Tengku Ali dan mempunyai hak kepada takhta kerajaan.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS