Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr Asri: Boleh tak setuju tapi jangan hina para imam
Diterbitkan:  Jul 31, 2017 5:53 PM
Dikemaskini: 10:21 AM

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengingatkan umat Islam supaya tidak menghina para imam yang muktabar dengan menuduh mereka berniat ingin menghalalkan apa yang Allah haramkan ataupun seumpamanya.

Menerus posting di Facebook hari ini, katanya, tuduhan seperti itu keterlaluan dan orang yang mengucapkan demikian; sama ada tidak tahu tentang keluasan khilaf dalam bab yang diperkatakan, ataupun kurang adab terhadap para imam.

“Jika kita tidak bersetuju, kita sebut saya tidak bersetuju dengan pendapat ini, ataupun saya menganggap ia pendapat yang marjuh ataupun lemah. Jangan kita kata: ini menghalalkan yang haram dan seumpamanya.

“Di sana akan ada pihak yang sebaliknya menyokong pendapat tertentu dengan alasan-alasan yang mereka pegang,” katanya.

Tanpa menyebut sebarang nama, namun dipercayai kenyataan Dr Mohd Asri ditujukan kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, yang berkata mana-mana pihak yang menyokong keputusan mahkamah membenarkan anak tidak sah taraf tidak dibin atau dibintikan dengan Abdullah boleh menjurus kepada menghalalkan zina.

"Pendapat baharu menjurus kepada menghalalkan zina, pendapat Mufti Perlis ini menghalalkan zina, benda yang diputuskan sejak berzaman tidak boleh ubah, sebab ia berasaskan al-Quran, hadis, ijmak ulama.

“Kenapa kita nak melawan arus?

"Jadi saya harap ulama-ulama ini harus berhati-hati, kita pakai la ijmak yang telah dibuat berkurun lamanya, orang yang buat hukum bukan sebaranan tapi berasakan al-Quran dan hadis, ijmak dan juga kajian," katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Asri memetik Imam Ibn Qudamah dan kitab fikahnya yang masyhur iaitu al-Mughni.

“Ali bin Asim meriwayatkan daripada Abu Hanifah (Imam Mazhab Hanafi) bahawa beliau berkata: ‘Jika seseorang lelaki berzina dengan seorang perempuan lalu mengandung disebabkan perzinaan itu, aku berpendapat tidak salah untuk dia berkahwin dengannya dan menutupinya (aib) dan anak itu dikira anaknya.

“(sambung Ibn Qudamah lagi) para ulama ijmak (sepakat tanpa kecuali) bahawa jika anak dilahirkan dalam keadaan isteri bersuami, kemudian ada orang lain mendakwa itu anaknya, anak itu tidak akan dinasabkan kepada yang mendakwa.

“Hanya para ulama berkhilaf (berbeza pendapat tentang nasab) apabila anak itu lahir dalam keadaan perempuan tidak mempunyai suami,” tulisnya.

Keputusan Mahkamah Rayuan minggu lalu yang memutuskan bahawa seseorang anak yang dilahirkan di luar nikah boleh bin nama bapa dan fatwa mengenainya oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai kuasa undang-undang telah menimbulkan pelbagai polemik.

Dr Mohd Asri pada Sabtu, 29 Julai lalu, menulis di Facebook bahawa keputusan mahkamah rayuan baru-baru ini mampu mengelakkan anak yang tidak bersalah daripada dihukum.

Katanya, tindakan hakim panel tiga hakim itu mampu menutup keaiban, memberi peluang insan bertaubat, dan ke arah menghindarkan mentaliti 'Islam agama hukuman'.

Beliau turut memberi pautan wawancaranya dengan akhbar Utusan Malaysia berhubung keputusan warta negeri Perlis pada 2013 yang menyebut “Anak yang lahir kurang enam bulan selepas ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami”.

Lihat Komen
ADS