Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Zahid tak puas hati sistem keselamatan KL Sentral

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengarahkan Sistem Pemantauan Berpusat diwujudkan di Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral) bagi memantapkan kawalan keselamatan di stesen itu.

Beliau yang juga menteri dalam negeri mengeluarkan arahan tersebut selepas tidak berpuas hati dengan tahap keselamatan di kawasan yang menjadi tumpuan pengguna pengangkutan awam itu.

Susulan itu, Zahid mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim menyediakan kertas cadangan mengenai perkara itu dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata, sistem pemantauan tersebut akan diselaraskan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan dan mencegah sebarang aktiviti jenayah termasuk ancaman oleh mana-mana kumpulan pelampau atau serangan pengganas.

"Saya telah minta KSU KDN sebagai pengerusi jawatankuasa untuk kemukakan kertas cadangan hasil daripada mesyuarat yang akan diadakan nanti dalam tempoh sebulan.

"Saya sendiri akan kemukakan (kertas cadangan itu) kepada jemaah menteri untuk melihatnya," kata Ahmad Zahid dalam sidang media di Stesen Sentral, Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, fasa ketiga Sistem Transit Aliran Massa (MRT) yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027 memerlukan sistem keselamatan yang menyeluruh di KL Sentral.

Justeru katanya, sistem keselamatan bukan sahaja perlu dilengkapi polis bantuan mencukupi, malah harus dibantu dengan teknologi keselamatan yang moden.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengadakan lawatan kerja di KL Sentral bagi melihat kaedah pengoperasian CCTV serta aspek keselamatan di kawasan itu.

Menurutnya berdasarkan pemerhatian dilakukan, sebanyak 457 CCTV yang dipasang dalam radius 10 ekar di KL Sentral masih perlu dipertingkatkan keupayaannya khususnya daripada aspek resolusi.

KL Sentral merupakan pusat jaringan pengangkutan awam utama di Lembah Klang dengan kapasiti pengunjung hampir 200,000 orang setiap hari.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS