Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Isu bin Abdullah: PERKASA nasihat mufti jangan bertelagah

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali menasihatkan golongan mufti di negara ini agar tidak berdebat secara terbuka mengenai hal ehwal agama Islam.

Terbaru katanya, perbezaan pandangan secara terbuka antara Mufti Perlis dan Mufti Perak mengenai isu anak luar nikah, yang didakwanya boleh mengundang kekeliruan umat Islam.

"Saya ingin menggesa mufti-mufti supaya mengelak dari berdebat secara terbuka terutamanya melalui media termasuk FB masing-masing jika ada perbezaan pendapat mengenai sesuatu perkara.

"Perkara ini sudah dua, tiga kali berlaku dan yang terbaru adalah perbezaan pendapat antara mufti Perlis dan mufti Perak bersabit isu anak luar nikah.

"Mereka telah buat kenyataan secara terbuka dan ini satu perkara yang amat tidak sihat kerana boleh mengelirukan orang ramai," kata Ibrahim dalam sidang media di ibu pejabat PERKASA, Kuala Lumpur hari ini.

Mahkamah Rayuan minggu lalu memutuskan anak yang dilahirkan di luar nikah boleh dibinkan nama bapanya dan fatwa mengenainya oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai kuasa undang-undang.

Ekoran keputusan mahkamah itu telah menimbulkan pelbagai polemik dan perbezaan pandangan, antaranya membabitkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Bercakap kepada media semalam Harussani berkata mana-mana pihak yang menyokong keputusan mahkamah membenarkan anak tidak sah taraf tidak dibin atau dibintikan dengan Abdullah boleh menjurus kepada menghalalkan zina.

Bagaimanapun, Mohd Asri melalui tulisan di Facebook mengingatkan umat Islam supaya tidak menghina para imam yang muktabar dengan menuduh mereka berniat ingin menghalalkan apa yang Allah haramkan.

Mengulas lanjut, Ibrahim atau lebih mesra dipanggil Tok Him berkata golongan agamawan itu sepatutnya segera bertemu dan berbincang atas semangat musyawarah.

"Perkara-perkara pokok, perkara yang tidak jelas khususnya mengenai hukum wajarlah mufti-mufti, tokoh Islam termasuk cendiakawan Islam supaya segera bertemu dan berbincang atas semangat musyawarah, bertukar pendapat dan mencari titik persefahaman.

"Bila seseorang ilmuan Islam yang memegang jawatan mufti bertelagah sesama mufti buruk nampaknya.

"Bila dah didebat secara terbuka dan masing-masing nak pertahan harga diri masing-masing dengan macam-macam hujah jadi kesannya tidak baik kepada umat Islam," tambah Tok Him.

Lihat Komen
ADS