LAPORAN AUDIT Kadar jualan yang rendah membabitkan produk 1Malaysia seperti pakaian dan barangan kraf tempatan menyebabkan kerugian dan penutupan kedai-kedai Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn Bhd (Karyaneka) milik kerajaan, kata Laporan Ketua Audit Negara 2016.
Karyaneka, sebuah entiti milik penuh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, menghadapi masalah besar apabila 11 kedainya mengalami kerugian dan lapan lagi ditutup pada 2014 dan 2015.
"Produk yang kurang laris dan tidak laku di setiap outlet adalah tinggi iaitu berjumlah RM338,144 yang mana stok produk pakaian 1Malaysia mencatatkan jumlah tertinggi iaitu RM125,807 (37.2%).
"Selain itu, hanya enam outlet yang menjana keuntungan manakala 11 outlet mengalami kerugian, enam outlet ditutup pada tahun 2014 dan dua lagi outlet pada tahun 2015," menurut laporan itu.
"Stok pakaian 1Malaysia tersebut adalah terdiri daripada baju kemeja, T-Shirt, kain dan baju kurung Batik yang diperoleh sejak tahun 2010, namun masih banyak tidak dapat dijual walaupun pelbagai promosi dan diskaun ditawarkan," katanya.
Audit yang dijalankan pada bulan Mei dan Jun 2016, mendapati Karyaneka hanya mampu menghabiskan dua peratus stok pakaian 1Malaysia berjumlah RM123,222 sehingga April 2017.
Karyaneka tidak mempunyai mekanisme untuk mengenal pasti stoknya yang tidak popular, kata laporan itu.
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan memutuskan untuk membantu Karyaneka menghabiskan stok ini menerusi promosi mega, memberikannya semasa program dihadiri menteri serta rumah kebajikan sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Kedai-kedai ini terletak di Kompleks Kraf di Kuala Lumpur, Kompleks Kraf di Langkawi dan dua kedai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
