Perbalahan berlaku ketika kerja-kerja perobohan yang dijadualkan melibatkan kedai-kedai yang terletak di tepi jalan di Hulu Kelang, Ampang pagi ini.
Video menunjukkan kira-kira 30 lelaki bertengkar dan ada yang memukul antara satu sama lain berhampiran jentolak yang diletakkan di luar barisan kedai.
Pegawai polis dan beberapa anggota anti rusuhan yang memegang perisai, turut berada di tempat kejadian.
Ketua Umno cawangan Batu 7, Mohd Nazlee Aziz Yeop (blazer merah) ketika dihubungi berkata ia hanyalah kekecohan biasa.
"Ia hanya kekecohan. Apabila traktor memulakan (enjinnya), sesetengah daripada mereka 'menjadi liar'. Mereka adalah kira-kira 30 pemilik kedai," katanya kepada Malaysiakini.
Tujuh kedai di pinggir jalan yang menuju ke kawasan perumahan Ukay Perdana di Ampang dijadual dirobohkan hari ini bagi memberi laluan kepada pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE). Kedai-kedai itu telah dibina sebagai sebahagian daripada kawasan setinggan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib (gambar) turut hadir ketika kekecohan itu berlaku.
"Saya tiba kira-kira pukul 9.30 pagi dan bersalam dengan penjaga kedai dan pegawai polis. Nazlee dan rombongannya tiba pada pukul 10 pagi.
"Saya tiba di tengah pertengkaran, tapi tidak ada keganasan, hanya marah dan jerit-jerit," katanya ketika dihubungi.
Timbalan Presiden AMANAH Selangor itu kemudiannya mempengerusikan mesyuarat di pejabat Penghulu Hulu Kelang melibatkan pemilik kedai, pegawai dari Pejabat Tanah Gombak (PTG), EKVE serta Nazlee.
"Sebelum ini, mesyuarat hanya melibatkan saya dan ahli jawatankuasa bertindak pemilik kedai yang berbincang dengan pihak berkuasa. Kami telah adakan lebih daripada 20 pertemuan.
"Tetapi hari ini Nazlee tiba-tiba muncul, dia tidak pernah terlibat sebelum ini. Mudah-mudahan, kejadian yang tidak diingini (seperti hari ini) tidak akan berlaku lagi," tambahnya.
