Ahli Parlimen PSM Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj memilih untuk mengambil pendekatan yang praktikal tentang keperluan dana pengangguran walaupun menurutnya terdapat kebimbangan berhubung cadangan itu.
Katanya, kebimbangan bahawa Dana Insurans Pekerjaan akan disalah urus adalah realistik, kerana menurutnya, laporan audit menunjukkan bahawa ia juga berlaku terhadap dana kerajaan yang lain.
"Tetapi tidak mempunyai dana pengangguran bukanlah jawapannya.
"Mulakan dana, tetapi kita mesti meneruskan usaha kita untuk membersihkan korupsi," kata ahli parlimen itu kepada Malaysiakini, dengan menambah bahawa kebimbangan itu tidak seharusnya mengatasi kebaikannya.
Dana pengangguran merupakan sebahagian daripada Rang Undang-undang Sistem Insurans Pekerjaan yang dibentangkan oleh kerajaan di Parlimen semalam.
Di bawah Rang Undang-undang itu, majikan dan pekerja akan membuat sumbangan bulanan kepada dana itu, yang kemudiannya akan memberi pekerja manfaat pengangguran sekiranya mereka memenuhi syarat-syarat tertentu.
Jeyakumar berkata setiap tahun sehingga 50,000 orang kehilangan pekerjaan dan satu pertiga daripadanya tidak mendapat pampasan disebabkan oleh sebab-sebab seperti syarikat yang bankrap.
Oleh itu, katanya, terdapat keperluan terhadap dana pengangguran.
Ditanya sama ada kerajaan sepatutnya mengurangkan sumbangan minimum 12 bulan bagi pekerja untuk memenuhi syarat bagi mendapatkan faedahnya, Jeyakumar berkata bahawa penambahbaikan lain boleh dibuat pada masa akan datang.
"Selepas dana itu berjalan selama beberapa tahun, mereka dapat melihat sama ada ia terlalu ketat dan sama ada mereka dapat melonggarkan syarat-syaratnya.
"Jika anda adalah kerajaan, anda tidak mahu memulakan dana yang tidak boleh membayar sendiri... Ini merupakan beban tambahan terhadap sumber-sumber kerajaan," katanya.
Ahli Parlimen Sungai Siput itu mempunyai kebimbangan lain yang akan dibangkitkan semasa perbahasan RUU itu nanti.
Salah satu daripada kebimbangan itu, adalah kesukaran yang semakin meningkat dalam membuat tuntutan pengangguran untuk kali kedua dan seterusnya.
Di bawah Seksyen 32 (5) RUU itu, bilangan caruman yang dibuat oleh pekerja sebelum membuat tuntutan, tidak boleh dikira untuk permintaan tuntutan berikutnya.
Sebagai contoh, jika seseorang kehilangan pekerjaan mereka dua kali dalam dua tahun, mereka tidak boleh membuat tuntutan kedua melainkan mereka telah membuat sumbangan selama 18 bulan selepas membuat tuntutan pertama.
Satu lagi kebimbangan Jeyakumar ialah mengapa ada satu peruntukan yang membenarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) - yang menguruskan dana itu - untuk melantik agen untuk mengumpulkan sumbangan.
Jeyakumar berkata Perkeso tidak mempunyai masalah mengumpul sumbangan untuk skim keselamatan sosialnya sendiri, dan oleh itu tidak memerlukan pengumpul pembayaran swasta.
Pembacaan kedua Rang Undang-undang Sistem Insurans Pekerjaan dijangka dibuat dalam persidangan Dewan Rakyat semasa.
