Jamal gelar Mahathir 'celaka'

       

Tidak timbul soal perkauman, sebaliknya apa yang hendak disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi cuma peringatan kepada anggota Umno.

Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, berkata peringatan tersebut adalah supaya anggota parti Melayu itu tidak menjadi "celaka" seperti Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita tidak peduli negara kita berbilang bangsa, saya orang Melayu Banjar, kita semua ada sejarah keturunan. Orang India, orang Cina (hidup) aman makmur dalam negara kita ini.

"Tetapi apa yang ingin disampaikan oleh timbalan perdana menteri ini adalah (peringatan buat) orang yang celaka macam Dr Mahathir ini.

"Kenapa saya cakap Dr Mahathir ini celaka? Setelah 22 tahun menjadi perdana menteri, setelah sekian lama hidup beliau dalam Umno, meminta orang umno supaya patuh dan beliau menjadikan parti Umno ini sebagai batu loncatan untuk memijak kepala orang Melayu Umno untuk kerjaya politik dan kejayaan keluarga beliau. Betul seperti Zahid katakan habis madu sepah dibuang," tegas Jamal.

Pecahkan Melayu, negara

Jamal berkata demikian sebagai mengulas ucapan Ahmad Zahid yang mendedahkan maklumat didakwa kad pengenalan Dr Mahathir pada Ahad lalu.

Dalam ucapannya itu Zahid mengungkit sejarah Dr Mahathir yang didakwanya berketurunan India, selain menuduh bekas perdana menteri itu mempergunakan orang Melayu selama 22 tahun dalam pentadbirannya.

Mengulas lanjut Jamal (gambar) menyatakan sokongannya kepada Ahmad Zahid yang juga anggota Parliamen Bagan Datok itu.

"Kami menyokong penuh kenyataan Ahmad Zahid, kerana ini yang perlu didedahkan kepada orang ramai, siapa Dr Mahathir. Beliau bapa kepada perpecahan," katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Jamal yang terkenal dengan pelbagai aksi berani itu hadir bersama lebih 30 pengikutnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira jam 11 pagi tadi.

Beliau yang juga ketua Gerakan Baju Merah membuat laporan polis berhubung kenyataan Dr Mahathir bahawa Ahmad Zahid pernah menemuinya apabila dilantik sebagai timbalan perdana menteri untuk memohon simpati dan sokongan bagi menggantikan Datuk Seri Najib Razak.

Seperti biasa kehadiran Jamal turut diserikan dengan gimik tersendiri. Kali ini dia Jamal membawa skrin LCD bersama pembesar suara di atas sebuah lori untuk memapaparkan rakaman ucapan pemimpin pembangkang yang mengaitkan Dr Mahathir dengan berketurunan India.

Sikit pun tak percaya

Kata Jamal, perpecahan orang Melayu memang berpunca daripada Dr Mahathir.

"Dari mana PKR wujud? Berpunca daripada kezaliman beliau terhadap (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim). Daripada mana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) wujud? Dari ketamakan dan (usaha beliau) untuk menjatuhkan perdana menteri," kata Jamal.

Oleh demikian, Jamal berkata apa yang dilakukan Dr Mahathir adalah kecelakaan dan perpecahan bukan sahaja di kalangan orang Melayu tetapi juga negara.

Mengulas lanjut, Jamal berkata laporan polis dibuatnya hari ini adalah bagi mempertahankan Ahmad Zahid.

Kata Jamal, apa yang dinyatakan Dr Mahathir mengenai Ahmad Zahid semalam adalah fitnah.

"Bagi kami perkara tersebut satu dusta, fitnah dan (usaha) ingin menggusarkan orang ramai dan ahli Umno.

"Kami tidak percaya sedikit pun tentang perkara seperti hasutan dan fitnah sebegitu.

"Perkara tersebut (didakwa) adalah kerana kita lihat Dr Mahathir amat risau tentang apa yang didedahkan Ahmad Zahid ketika beliau merasmikan Umno Kelana Jaya baru-baru ini," katanya.

Pada 31 Julai lalu Dr Mahathir dalam rakaman video ringkasnya memulangkan paku buah keras kepada Ahmad Zahid.

Dr Mahathir mendakwa Ahmad Zahid pernah menemuinya apabila dilantik sebagai timbalan perdana menteri untuk memohon simpati dan meraih sokongan untuk menggantikan Najib.

Kata Jamal, isu nama Kutty yang disebut Ahmad Zahid bukan perkara baru dan sudah diketahui umum.

"Anwar terutamanya telah beberapa kali sebut siapakah Dr Mahathir sebenarnya," kata Jamal.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda