Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin Umno tolak dakwaan ‘Zahid mahu ganti Najib’
Diterbitkan:  Aug 2, 2017 1:01 PM
Dikemaskini: 5:10 AM

Pemimpin Umno menolak dakwaan yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta sokongannya untuk menggantikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bercakap kepada Sinar Harian, Exco Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, Ahmad Zahid adalah setiausaha politik Najib sejak beliau mula berpolitik.

“Jadi tidak timbul isu, Ahmad Zahid berjumpa Dr Mahathir meminta sokongan untuk menjatuhkan Najib.

“Maka dakwaan Dr Mahathir itu, saya yakin tidak benar dan tidak berasas,” katanya.

Isnin lalu, dalam satu kenyataan video, Dr Mahathir mendedahkan bahawa Ahmad Zahid pernah menemuinya berhubung perkara itu, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

"Zahid mesti ingat apabila Zahid jadi timbalan perdana menteri, datang jumpa saya cuba nak dapat simpati saya, sokongan saya.

"Saya kata benar-benar kepada Zahid, kalau pun Najib letak jawatan, Yang mana itu tak mungkin, Zahid kena tunggu Umno tentukan siapa yang nak ganti Najib.

"Belum tentu Zahid ganti Najib. Bila nak simpati saya, datanglah. Ini tak boleh dapat carilah jalan, jalan yang bohong macam ini," kata bekas perdana menteri itu.

Mahathir mendedahkan perjumpaan itu, selepas Ahmad Zahid membangkitkan isu keturunan India berhubung dirinya dan dakwaan beliau mempergunakan orang Melayu selama 22 tahun pentadbirannya.

Mengulas isu sama, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Sohaimi Shahadan menyifatkan dakwaan Mahathir bertujuan mengalihkan isu sebenar mengenai keturunan bekas perdana menteri itu.

“Beliau seorang ahli politik yang berpengalaman. Sudah tentu beliau pandai mengalihkan isu demi mendapatkan simpati rakyat.

“Apa yang didakwanya itu tidak relevan dan hanya mencipta alasan,” katanya yang dipetik oleh Sinar Harian.

Akhbar itu juga memetik Setiausaha Agung Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub sebagai berkata, kenyataan Mahathir sebagai tidak logik memandangkan beliau bukan lagi ahli Umno.

“Kalau Ahmad Zahid bernafsu untuk menjadi perdana menteri beliau perlu melawan Najib sebagai presiden Umno dan merayu kepada 160,000 perwakilan bagi memastikan kemenangannya.

“Jadi apa logiknya Ahmad Zahid merayu kepada Mahathir yang bukan ahli Umno?” soalnya.

Menurut Mustapha, beliau mengenali secara rapat dengan Ahmad Zahid lebih 40 tahun, dan yakin timbalan perdana menteri itu tidak melakukan sedemikian seperti didakwa Mahathir.

“Saya mengenali Zahid lebih hampir 40 tahun. Sukar untuk saya mempercayai apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir. Politik Zahid mula bersinar setelah menjadi setiausaha politik Najib. Kemudian dilantik sebagai senator.

“Diberi peluang bertanding dalam PRU dan menang, menjadi ketua Pemuda Umno dan dilantik sebagai timbalan menteri dan menteri. Menang naib presiden (Umno) dan sekarang timbalan perdana menteri.

“Kalau Zahid bercita-cita untuk menjatuhkan Najib, beliau tidak perlu berjumpa Mahathir untuk mendapat simpatinya,” katanya.

Lihat Komen
ADS