Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa pembacaan kedua rang undang-undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dipercepatkan dan diluluskan pada sidang kali ini.
Hari ini, kira-kira 30 wakilnya, termasuk ahli parlimen Dr Michael Jeyakumar Devaraj hadir tiba di bangunan parlimen bagi menyerahkan memorandum kepada Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem yang membentangkannya di parlimen semalam.
Bagaimanapun memorandum itu diterima oleh wakil Richard, Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Mohd Hajazy Jusoh.
“Kami mengharapkan yang menteri berkenaan akan mengotakan janji beliau untuk membentangkannya dan meluluskan RUU ini dalam sidang parlimen yang akan berlangsung dari 24 Julai sehingga 11 Ogos ini.
“Kami juga akan memberikan komen terhadap RUU ini secara bertulis setelah mengadakan konsultasi dengan jawatankuasa-jawatankuasa pekerja kami,” petik memorandum itu.
Memorandum itu, antara lain mengemukakan dua soalan iaitu bilakah RUU itu akan diluluskan dan apakah perancangan dari kerajaan selepas ia dibentangkan.
Menurut PSM, RUU SIP perlu dipercepatkan memandangkan ia amat bermakna buat golongan pekerja yang tertekan dengan keadaan ekonomi hari ini.
“Dalam dua tahun kebelakangan ini banyak perniagaan yang gulung tikar dan menghentikan operasi di Malaysia, di mana lebih kurang tiga puluh peratus pekerja terlibat, hilang pekerjaan tanpa mendapat apa-apa pampasan.
“Dunia mereka menjadi kelam dengan tiba-tiba dan banyak perkara bertukar menjadi beban dalam sekelip mata,” kata parti itu yang turut mengucapkan terima kasih dengan pembentangan RUU tersebut.
PSM turut mencadangkan mekanisme dalam RUU SIP dengan memberi bantuan sara hidup sementara dalam tempoh tertentu apabila kehilangan kerja dan memberi latihan kemahiran kepada pekerja baru.
Justeru katanya dengan kewujudan RUU SIP diharap dapat memberi sinar kepada pekerja yang terbeban dengan masalah ekonomi.
Dana pengangguran merupakan sebahagian daripada Rang Undang-undang Sistem Insurans Pekerjaan yang dibentangkan oleh kerajaan di Parlimen semalam.
Di bawah Rang Undang-undang itu, majikan dan pekerja akan membuat sumbangan bulanan kepada dana itu, yang kemudiannya akan memberi pekerja manfaat pengangguran sekiranya mereka memenuhi syarat-syarat tertentu.
