Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Johari: Terbitan bon RM2.5b tiada kaitan dengan 1MDB
Diterbitkan:  Aug 3, 2017 9:00 AM
Dikemaskini: 1:36 AM

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani menafikan bahawa Putrajaya akan mendapatkan RM2.5 bilion melalui penerbitan bon untuk membantu 1MDB membayar hutangnya kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Beliau berkata tuduhan itu adalah "tidak berasas sama sekali".

"Bon itu tidak ada kaitan dengan 1MDB. Ia adalah bon kerajaan biasa. Setiap tahun, kita mengalami defisit belanjawan dan kita perlu membiayai perbelanjaan kerajaan melalui penerbitan bon. Itu saja.

"Jadi sesiapa yang membuat spekulasi bahawa bon ini akan diterbitkan untuk membantu 1MDB adalah membuat tuduhan yang tidak berasas sama sekali dan mereka silap di segi faktanya," kata Johari kepada Malaysiakini.

Beliau menjelaskan bahawa Putrajaya akan menerbitkan bon dari masa ke semasa dan menegaskan bahawa 1MDB tidak meminta bantuan kerajaan berhubung perkara itu.

"Bagi 2017, kita mempunyai tiga peratus defisit... Kerajaan akan mendapatkan wang apabila kita memerlukannya. Adalah normal bagi sesebuah kerajaan dalam kedudukan defisit," katanya.

1MDB dalam satu kenyataan semalam berkata semua pembayaran kepada IPIC akan datang daripada hasil pelan 'rasionalisasi' 1MDB.

Syarikat itu berkata dananya hanya akan diperolehi pada bulan Ogos ekoran keperluan kelulusan pengawalseliaan tambahan dan telah menulis kepada IPIC meminta bayaran itu dibuat pada bulan Ogos dan bukannya pada 31 Julai.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Husam Musa, yang memetik rekod Bank Negara, semalam (Khamis) menimbulkan kecurigaan terhadap masa terbitan bon RM2.5 bilion kerana tarikh pembukaannya ialah 1 Ogos - sehari selepas tarikh akhir untuk 1MDB memenuhi obligasi pembayaran AS$602 juta (RM2.57 bilion) kepada IPIC.

"Pengeluaran bon berjumlah RM2.5 billion oleh Bank Negara berbetulan dengan janji 1MDB semalam bahawa bayaran kepada IPIC akan dibuat pada bulan Ogos ini juga," katanya dalam satu kenyataan.

Bon murabahah ini akan matang 20 tahun lagi iaitu 4 Ogos 2037.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS