Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang Bantuan Guaman (Pindaan) yang mengehadkan warga bukan Malaysia mendapatkan bantuan daripada Biro Bantuan Guaman.
Beberapa anggota parlimen pembangkang mendesak kerajaan untuk membatalkan peruntukan kontroversi itu.
Dalam perbahasan bacaan kedua, Hanipa Maidin (AMANAH-Sepang) menyifatkan pindaan tersebut sebagai memalukan dan mundur.
"Seharusnya bersifat universal juga," kata Hanipa.
"Dahulu boleh bagi kepada mereka bermastaudin dan juga tinggal di Malaysia," tambah beliau lagi.
Bagaimanapun Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said menafikan hujah anggota parlimen pembangkang. Menurut Azalina ia bagi memastikan dana awam yang dikutip mengutamakan rakyat Malaysia.
Beliau juga menjelaskan warga asing boleh mendapatkan bantuan melalui pihak kedutaan mereka.
Rang undang-undang bagi meminda Akta Bantuan Guaman 1971 itu dibentangkan Azalina untuk bacaan kali pertama.
Pindaan akta tersebut turut mencadangkan peruntukan kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual semasa prosiding dimulakan di mahkamah boleh memohon mendapatkan khidmat bantuan guaman.
