Anggota parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sean boleh mengambil tindakan terhadap speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di mahkamah, kata peguamnya N Surendran.
Surendran yang juga anggota parlimen PKR berkata demikian bagi menjawab tuduhan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said yang mendakwa anak guamnya telah mencemarkan imej dan kebebasan parlimen.
Beliau berkata Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja melindungi hak seseorang mendapatkan keadilan di mahkamah, malah terdapat kes berkaitan yang telah diputuskan oleh mahkamah persekutuan sebelum ini.
"Azalina menuduh Hee 'gagal memahami' Perkara 63 (1) perlembagaan, yang menyatakan kesahan apa-apa prosiding di Parlimen tidak boleh dipersoalkan.
"Bagaimanapun, Azalina sendiri mengabaikan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Zambry Kadir melawan Sivakumar pada tahun 2009, yang memutuskan bahawa mahkamah boleh menyiasat keputusan badan perundangan yang menyalahi undang-undang atau melanggar mandat perlembagaan," kata Surendran dalam kenyataan.
Memetik Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan semua orang adalah sama di sisi undang-undang, Surendran berkata sebarang tindakan speaker Dewan Rakyat yang tidak konsisten dengan perlembagaan, boleh dicabar di mahkamah.
Hee pada Rabu lalu memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mencabar keputusan Pandikar menolak dua soalan berkaitan skandal 1MDB.
Pada masa itu, Surendran berkata penolakan soalan-soalan berkenaan menghalang Hee dan anggota parlimen lain daripada menjalankan tugas mereka untuk bertanya soalan bagi pihak rakyat yang mereka wakili, menyebabkan parlimen tidak berfungsi dengan baik.
Bertentangan dengan dakwaan Azalina, naib presiden PKR itu berkata tindakan undang-undang yang dilakukan oleh Hee bertujuan untuk menegakkan martabat dan peranan Parlimen.
