Berita Malaysiakini

Kerana 'maaf', penyelesaian Adnan-Utusan tak dicapai

Geraldine Tong  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Walaupun usaha mediasi antara Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Utusan Malaysia tamat hari ini, pihak terlibat masih memberikan petanda bahawa masih terdapat ruang untuk penyelesaian luar mahkamah.

“Peluang penyelesaian tidak tertutup, ia masih terbuka,” kata peguam Utusan M Reza Hassan kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mediasi kira-kira tiga jam hari ini.

Peguam Adnan, Americk Sidhu, berkata perkara berbangkit dalam mediasi itu adalah sama ada akhbar Umno itu akan menggunakan perkataan “maaf” dalam kenyataannya.

Utusan mencadangkan penggunaan perkataan “kesal”, kata Americk Sidhu lagi.

Reza berkata beliau akan membincangkan dengan anak guamnya berkaitan “sepatah perkataan itu” (maaf) untuk penyelesaian itu.

“Jika semuanya baik, kita akan selesaikan. Jika tidak, kita teruskan bicara,” katanya.

Adnan memfailkan saman fitnah terhadap Utusan susulan penyiaran artikel bertajuk "Hebat sangatkah Adnan" pada 2014.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Utusan untuk mengetepikan saman itu.

Bagaimanapun Mahkamah Rayuan pada 1 Mac tahun lalu memutuskan untuk menolaknya dengan mengambil kira tuntutan dalam pernyataan tuntutan.

Seterusnya, Mahkamah Persekutuan, membuat keputusan sebulat suara untuk mengembalikan saman itu dan memerintahkan perkara itu dibawa ke perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan tidak membenarkan perkara itu diketepikan.

Pendengaran untuk perbicaraan akan diteruskan minggu depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

[Baca berita asal]