Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRU14: Ahli PSM sasar tanding kerusi DUN Sri Muda
Diterbitkan:  Aug 5, 2017 2:09 PM
Dikemaskini: 6:17 AM

Abdul Razak Ismail dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak takut untuk berdepan dengan bekas rakannya dari Pakatan Harapan dalam pertandingan pelbagai penjuru untuk kerusi DUN Seri Muda di Selangor.

"Yang terbaik akan menang," kata Abdul Razak ketika ditanya mengenai harapannya dalam pilihan raya umum ke-14.

"Dalam situasi sekarang, calon paling kuat yang akan menang.

"Tidak timbul isu PSM memecah undi (pembangkang)," katanya kepada pemberita selepas sesi mingguan sarapan dengan pengundi di kerusi yang kini disandang PKR, Shuhaimi Shafie dari PKR, yang juga setiausaha politik Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata bahawa kerajaan negeri Selangor sentiasa berbangga dengan kekuatan mereka, dengan memenangi 44 daripada 56 kerusi semasa pilihan raya umum ke-13 yang lalu.

"Mereka berasa seperti mereka kuat dengan banyak program di negeri ini. Mereka juga bercakap tentang 1MDB, yang merupakan satu isu besar.

"Tetapi apabila PSM mengumumkan bahawa kami akan bertanding, mereka panik," dakwanya, sambil menambah bahawa parti itu kemudiannya dituduh sebagai pemecah undi parti komponen Harapan - PKR, DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Abdul Razak berkata walaupun beliau menjangkakan PKR akan mempertahankan kerusi Sri Muda terhadap Barisan Nasional, namun kemungkinan besar akan ada calon dari PAS - berikutan pecahnya Pakatan Rakyat.

Menurut Abdul Razak, beliau bukan sepenuhnya menentang Harapan, tetapi menurutnya beliau mendakwa rasuah dan penyalahgunaan kuasa menjadi berleluasa di Selangor.

"Setelah memantau prosiding Dewan Undangan Negeri, saya jarang mendengar mereka bercakap mengenai isu-isu seumpama itu," katanya merujuk kepada jutaan ringgit untuk mengecat gerbang gerbang Selangor dan untuk membina sebuah kubah baru bagi masjid negeri sebagai contoh keputusan yang menurutnya dipersoalkan di bawah pentadbiran Azmin.

Walaupun PSM diketahui mengenakan syarat yang ketat untuk calonnya, termasuk keperluan untuk berkhidmat di sesebuah kawasan pilihan raya, Abdul Razak berkata, beliau dijemput secara peribadi untuk menyertai parti itu berdasarkan rekodnya sebagai aktivis yang terlibat dengan gerakan Reformasi 1998.

Ini selain daripada pengalaman yang diperolehi semasa berkhidmat sebagai bekas pembantu kepada seorang exco Selangor dan sebagai bekas setiausaha gerakan Otai Reformasi, katanya.

"Apa yang mereka perlukan sekarang ialah seseorang yang boleh mempertahankan mereka dan bersuara," katanya.

Di Selangor, Abdul Razak juga mendedahkan bahawa PSM bercadang untuk bertanding di lima kerusi negeri lain - Kajang, Semenyih, Kota Damansara, Hulu Kelang dan Pelabuhan Kelang - serta kerusi Parlimen Subang dan Hulu Langat.

Dalam PRU13 lepas, presiden PSM, Dr Nasir Hashim gagal mempertahankan kerusinya di Kota Damansara atas tiket PKR selepas berdepan dengan pertandingan pelbagai penjuru pertarungan melawan BN, PAS dan tiga calon Bebas.

Calon-calon PSM di Kajang dan Semenyih juga berdepan dengan pertandingan pelbagai penjuru yang masing-masing dimenangi oleh calon PKR dan BN.

[Baca berita penuh] 

Lihat Komen
ADS