Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Tawfik cabar Akta 355 ditetapkan pada 31 Okt
Diterbitkan:  Aug 8, 2017 12:22 PM
Dikemaskini: 4:24 AM

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia masih belum mengemukakan afidavit jawapan berhubung permohonan Tawfik Ismail untuk melarang Parlimen daripada membenarkan usul Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355), atau mana-mana usul serupa dibentang dan dibahaskan.

Ini di sebalik keputusan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, pada 23 Jun lalu, yang mengarahkan Pandikar untuk berbuat demikian.

Peguam Tawfik, Muhammad Faizal Faiz Mohd Hasani berkata peguam kerajaan berjanji untuk berbuat demikian sebelum 22 Ogos.

"Pandikar belum memfailkan afidavitnya selama hampir dua bulan dan peguam kerajaan menyatakan bahawa mereka akan berbuat demikian sebelum 22 Ogos.

“Walau bagaimanapun, belum ditentukan sama ada mahkamah akan membenarkan jawapan itu diterima kerana ia telah melepasi tempoh masa yang dibenarkan.

"Speaker memberi alasan kekangan masa kerana tidak mematuhi arahan mahkamah itu," kata Muhammad Faizal.

Katanya, dengan Hakim Datuk Kamaludin Md Said, antara mereka yang terlibat dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian pertukaran asing (forex) pada 1990-an, tarikh perbicaraan minggu depan pada 16 Ogos telah dikosongkan.

"Pendaftar, Norazlin Othman telah menetapkan 31 Okt, sebagai tarikh pendengaran permohonan," katanya.

Peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan ketika ditemui mengesahkan tarikh pendengaran 31 Oktober. Beliau juga menyatakan bahawa pihaknya tidak akan memfailkan permohonan mengketepikan permohonan itu.

Tawfik, anak kepada Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman, timbalan perdana menteri Malaysia pada tahun 1970-an, telah memfailkan saman pemula yang menamakan Pandikar dan Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosmee Hamzah sebagai defendan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS