Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sudah 'kawtim' atau menteri jadi jurucakap majikan?

ULASAN Kita amat kecewa apabila mendapat tahu perdana menteri dan kabinet menangguhkan pembentangan rang undang-undang (RUU) Skim Insurans Pekerjaan 2017 (SIP) bacaan kedua yang dijadualkan semalam setelah menerima tekanan majikan dan mungkin juga menteri-menteri sendiri yang menjadi jurucakap majikan.

Kerajaan tidak seharusnya tunduk kepada tekanan persatuan majikan.

Sejak awal lagi apabila idea untuk membawa Skim Insurans Pekerja dicetuskan, Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) dan Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) telah menyuarakan bantahan mereka dengan hujah SIP tidak perlu.

Mereka berpendapat bilangan orang yang dibuang kerja tidak ramai dan mungkin satu skim bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) cukup untuk menangani masalah ini.

MEF dan FMM pada dasarnya membantah skim ini, kerana dikatakan akan menaikkan kos mereka, justeru itu mengurangkan peratus keuntungan tahunan.

Pihak majikan juga cuba melobi untuk dimansuhkan pembayaran pampasan henti kerja mengikut Akta Kerja1955 jika SIP ini diperkenalkan.

Maka hasrat persatuan majikan amatlah jelas bahawa mereka amat sensitif bila SIP akan mengurangkan kadar keuntungan.

Jika majikan ikhlas mengenai isu pengurangan kos perniagaan, mereka juga harus melihat kepada kadar gaji, bonus pengurusan tertinggi mereka ataupun kadar dividen yang diberikan kepada pemegang saham syarikat setiap tahun.

Kerajaan sebagai pembela hak rakyat pekerja, tidak harus tunduk kepada tekanan majikan dan menyempurnakan tanggungjawab sosialnya dengan memastikan SIP ini dilaksanakan.

Penangguhan menyebabkan lebih ramai yang tidak akan menjadi benefisari.

Sepertimana diketahui, pemberhentian pekerja menjadi fenomena serius. Apabila kita rujuk statistik kerajaan lebih 38,000 pekerja hilang kerja pada 2015. Lebih 40,000 hilang kerja pada tahun 2016 dan MEF sendiri meramalkan lebih 50,000 kemungkinan akan hilang kerja dalam tahun ini.

Apakah perlindungan yang ada pada mereka sekarang, sekurang kurangnya menyara hidup sehingga mendapat kerja lain?

SIP telah dibincang panjang lebar dari 2009 dan setelah beberapa janji akhirnya dibawa ke sesi parlimen kali ini.

Sebelum ini, sesi parlimen lepas menteri sendiri berjumpa dengan wakil-wakil PSM dan berjanji SIP akan diluluskan sesi parlimen pada Julai dan pelaksanaan pada tahun 2018.

Tetapi sekarang buat pusingan U dan dikatakan akan dibentang di sesi parlimen Oktober. Kami percaya ini akan menjadi satu lagi wayang.

PSM hampir 19 tahun berkempen untuk membawa Tabung Pemberhentian Kerja yang fungsinya sama dengan SIP kepada pekerja yang hilang kerja secara tiba-tiba akibat syarikat muflis, syarikat pindah ke negara lain dan syarikat yang membuat pengurangan pekerja.

Satu jelajah seluruh Malaysia juga telah diadakan oleh kami untuk mendapat respon pekerja terhadap tuntutan ini dan pekerja amat mengalu-alukan undang-undang ini.

Debat parlimen

Sekarang, kami difahamkan bahawa kabinet telah memutuskan suatu jawatankuasa yang dianggotai oleh Wee Ka Siong, Richard Riot, Johari Abdul Ghani dan Paul Low akan berjumpa dengan pelbagai organisasi untuk mendapatkan maklum balas mengenai SIP ini.

Kami berasa RUU SIP harus dibenarkan untuk bacaan kedua dan di debat di parlimen.

Selepas kelulusan RUU ini, kerajaan masih boleh memperbaiki di masa akan datang. Ini kerana PSM juga berasa beberapa pindaan perlu dilakukan terhadap bil ini.

Aantara isu-isu yang masih boleh diperbaiki ialah seperti berikut:

(1) SIP yang sepatutnya memberi perlindungan kepada semua pekerja yang mengalami kehilangan kerja, tanpa syarat. Dan faedah ini bermula dari hari yang pekerja mula carum dalam tabung ini. Tetapi, RUU SIP mempunyai syarat-syarat berikut:

i) Bilangan bulan caruman 12 bulan minimum, baru seseorang pekerja layak untuk mendapat perlindungan.

ii) Bilangan bulan menerima elaun berbeza.Tempoh enam bulan tidak tetap, ia bergantung kepada jumlah caruman, contohnya, pekerja yang mencarum 12 hingga 15 bulan, hanya layak menerima elaun cari kerja untuk 3 bulan sahaja.

iii) Kadar penerimaan elaun berkurangan sehingga 6 bulan, iaitu, bulan pertama 80 peratus, bulan kedua 50 peratus, bulan ketiga dan keempat 40 peratus, dan bulan kelima dan keenam adalah 30 peratus.

(2) Pekerja-pekerja kontrak akan dilepaskan daripada faedah mengikut RUU SIP sekarang. Kini, kebanyakan pekerja bekerja di bawah kontrak tetap, tiga tahun terutamanya pekerja bawahan seperti pekerja keselamatan dan pembersihan sekolah. Ini golongan yang besar yang akan carum ke SIP tetapi tidak akan mendapat manfaatnya.

(3) Statistik kerajaan menyatakan satu per tiga pekerja yang hilang kerja akibat syarikat muflis tidak menerima faedah berhenti kerja. RUU SIP tidak menyatakan bagaimana dengan bayaran ini, dan RUU SIP harus mengambil kira golongan pekerja yang hilang sejumlah besar pampasan mereka kerana syarikat muflis.

(4) RUU SIP juga memberi kuasa untuk melantik agen bagi mengumpulkan caruman. Pada masa sekarang Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sudah pun ada sistem pengumpulan caruman dari majikan tanpa agen. Apakah keperluan agen untuk kumpul caruman?

(5) RUU SIP juga tiada jelas menyatakan bagaimana pekerja yang hilang kerja melalui pemangsaan oleh majikan / dituduh salah laku oleh majikan akan mendapat faedah ini. Kes di Mahkamah Perusahaan akan ambil masa panjang. Adakala pekerja menunggu selama lima tahun, bagaimana dengan faedah bawah SIP kepada pekerja-pekerja sebegini?

(6) RUU SIP tidak memberi perlindungan kepada pekerja asing yang juga hilang kerja seiring dengan pekerja tempatan.

PSM apabila berjumpa dengan wakil menteri sumber manusia, bahagian dasar KSM dan Perkeso pada 2 Ogos di Parlimen, mereka tegas memberitahu bahawa bacaan kedua akan dibentangkan pada minggu tersebut tetapi telah ditunda untuk lebih kajian.

PSM dengan tegas menyatakan bahawa RUU SIP perlu diluluskan dengan segera agar perlaksanaannya dapat bermula pada 11 Januari 2018.

PSM amat berharap mulai Januari tahun depan warga pekerja akan dilindungi oleh SIP.

Bila ditangguh lagi, lebih ramai pekerja yang kehilangan kerja akan ketinggalan.

Cara terbaik adalah dengan membenarkan bacaan kedua didebat di parlimen dan mengambil kira pelbagai pandangan.

Membatalkan bacaan kedua adalah seolah-olah satu langkah ‘kawtim’ dengan kehendak majikan dan menteri-menteri promajikan dalam kabinet.


M SIVARANJANI ketua biro pekerja Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan organisasinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS