Paling Popular
Terkini

PARLIMEN |  Ahli Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad sependapat dengan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar yang tidak bersetuju dengan reka bentuk jambatan projek kereta api Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Woodlands di Singapura ke Bukit Chagar, Johor Bahru.

Shahrir berkata beliau turut memahami dengan baik teguran yang dibuat oleh Sultan Ibrahim agar jambatan itu tidak dibina secara melengkung.

"Rupanya banyak yang tidak suka lengkung, bukan saya seorang sahaja yang tidak suka. Bila saya baca, saya tersenyum dengan penuh kefahaman.

"Bila kita bercakap tentang jambatan, pada asalnya ia untuk menyeberang dari satu tempat ke satu tempat dan selalunya jalan yang mudah adalah bukan yang melengkung atau bengkok,” katanya.

Shahril berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perasmian buku Dasar Buku Negara dan TN50 karya Ahli Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zuhdi di lobi Parlimen hari ini.

Hari ini Berita Harian melaporkan Sultan Johor tidak setuju cadangan reka bentuk jambatan untuk projek kereta api RTS.

Baginda juga mahu kerajaan Malaysia dan Singapura mengkaji semula sebelum berunding dengan baginda mengenai reka bentuk melengkung trek rel itu dengan ketinggian yang mencecah 30 meter di bahagian tengah.

Sultan Ibrahim mencadangkan reka bentuk jambatan yang lurus, lebih dekat dan sama tinggi atau lebih tinggi sedikit daripada Tambak Johor.

"Jika saya tidak suka, rakyat Johor juga tidak suka. Jika anda lakukan juga, saya tidak merestuinya," titah baginda yang turut mempersoalkan tindakan kedua-dua negara menggunakan khidmat kontraktor berasingan untuk membina bahagian jambatan di Singapura dan Malaysia.

Baginda akan mengemukakan cadangannya kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada pertemuan bulan depan.

Pembinaan RTS dicadangkan pada Mei 2010 sebagai alternatif kepada 80,000 hingga 100,000 pengguna Tambak Johor setiap hari.

Malaysia memilih Prasarana Malaysia Bhd, manakala Singapura memilih SMRT Corp yang sedang berunding projek membabitkan konsesi 30 tahun itu.

"Mengapa mesti Prasarana? Mengapa tidak kerajaan negeri Johor? Kena ingat tanah adalah urusan Johor, bukan kerajaan persekutuan.

"Kalau kamu bukan orang sini, kamu tidak akan faham sentimen Johor," kata Sultan Ibrahim (foto, atas).

Sementara itu Shahrir berkata semua perkara boleh dibincangkan dan pihaknya menerima teguran baik baginda.

“Pada saya ini boleh di selesaikan antara semua pihak antara Malaysia, Johor, Singapura, sampai dapat kesudahan yang terbaik.

“Saya ingat ada perbincangan tapi saya tak terlibat dengan soal merencana dan berbincang tapi apa pun teguran baginda ada sebabnya,” katanya.

Lihat Komen
ADS