Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Putrajaya mesti kotakan janji mansuh hukum mati mandatori'
Diterbitkan:  Aug 8, 2017 6:58 PM
Dikemaskini: 11:06 AM

Badan Peguam Malaysia mahu Putrajaya mengotakan janji memansuhkan hukuman mati mandatori, tanpa mengira jenis kesalahannya.

"Badan Peguam Malaysia mendesak kerajaan, jika benar-benar beriltizam untuk membentangkan sebuah Rang Undang-undang (RUU) dalam sesi parlimen sekarang bagi menghentikan hukuman mati mandatori," kata Presiden Badan Peguam George Varughese dalam kenyataannya hari ini.

Varughese kesal bahawa pihak kerajaan telah membuat pengumumman untuk memansuhkan hukuman mati mandatori tetapi tiada tindakan konkrit yang diambil.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata kabinet bersetuju untuk meminda perundangan era penjajah Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi memberikan mahkamah pilihan budi bicara hakim selain hanya menjatuhkan hukuman mati.

Varughese berkata syor tersebut tidak seharusnya terhad untuk kesalahan dadah.

Varughese menjelaskan pelaksanaan hukuman mati mandatori menghakis peranan hakim untuk menjatuhkan hukuman.

"Ia menghalang hakim daripada mengambil kira faktor-faktor yang membolehkan hukuman diringankan dan keadaan-keadaan khusus bagi setiap kes, sebelum penghakiman dibuat," katanya.

Beliau berkata faktor-faktor itu termasuklah umur pesalah, rekod jenayah lampau, keupayaan mental, penggunaan kekerasan dan pampasan.

Menurut Varughese tidak ada keadilan jika faktor-faktor tersebut tidak dipertimbangkan sebelum hukuman dijatuhkan.

"Hukuman mati tidak ada tempat dalam masyarakat yang menghargai nywa manusia, keadilan dan belas ihsan," katanya.

Badan peguam juga mahu Putrajaya menangguhkan pelaksanaan hukuman, mengisytiharkan moratorium rasmi terhadap hukuman mati dan menukar setiap hukuman mati kepada penjara seumur hidup dalam sidang parlimen yang sedang berlangsung.
 

Lihat Komen
ADS