Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Murid 7 tahun mangsa baru rabies di S'wak
Diterbitkan:  Aug 9, 2017 6:13 AM
Dikemaskini: Aug 9, 2017 3:43 AM

Satu lagi kes jangkitan rabies pada manusia dikesan semalam, menjadikan sehingga kini enam kes positif penyakit itu di Sarawak, dengan lima daripada pengidapnya telah meninggal dunia.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan malam tadi mengesahkan pengidap terbaru adalah seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun dari Kampung Kuala, Gedong, di bahagian Samarahan, yang pernah digigit anjing pada 17 Julai lalu.

Menurutnya kanak-kanak itu menerima tiga dos suntikan vaksin anti rabies di Hospital Serian, iaitu pada 21, 24 dan 28 Julai, dan mula mengalami demam, batuk serta muntah sebelum dimasukkan ke wad Hospital Serian pada 1 Ogos.

Beliau berkata keadaan kesihatan kanak-kanak itu kemudiannya semakin merosot di samping mengalami perubahan sikap di samping halusinasi sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak di Kuching, dan terpaksa diberi alat sokongan pernafasan, dan kini kanak-kanak itu berada dalam keadaan kritikal.

“Ujian sampel dihantar pada 8 Ogos, dan keputusan yang diperoleh pada hari yang sama menunjukkan ia positif terhadap virus rabies,” menurut kenyataan itu.

Sehingga semalam, 22 kawasan di dalam tiga bahagian di Sarawak, iaitu bahagian Serian, Sri Aman dan Kuching, telah diisytihar kawasan jangkitan rabies dalam kalangan haiwan oleh kerajaan Negeri Sarawak.

Sehubungan itu aktiviti kawalan dan pencegahan termasuk pengesanan kes-kes gigitan anjing mengikut prosedur sedia ada telah dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Pejabat Kesihatan Bahagian yang terlibat.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam satu lagi kenyataan memohon orang ramai yang mempunyai sejarah gigitan anjing dalam tempoh sejak 1 April sehingga kini agar segera membuat pemeriksaan di mana-mana fasiliti kesihatan terdekat.

Sekretariat JPBN juga mengingatkan orang ramai agar sentiasa menghindari diri daripada gigitan haiwan, terutama anjing dan sekiranya digigit mereka perlu segera mengambil langkah pencegahan awal, dengan mencuci luka bahagian terkena gigitan menggunakan sabun dan air bersih yang mengalir selama 15 minit, sebelum mendapatkan rawatan lanjut dengan segera di klinik atau hospital berdekatan.

Orang ramai boleh menghubungi Sekretariat JPBN untuk membuat sebarang laporan mengenai rabies dengan menelefon 082-443991 / 446991 / 447960, dan sebarang maklumat serta aktiviti operasi pemvaksinan wabak rabies boleh didapati menerusi portal Jawatankuasa itu di alamat www.infodisaster.sarawak.gov.my.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS