Paling Popular
Terkini

Kerajaan negeri Perak menafikan dakwaan pembangkang bahawa syarat menerima bantuan Program Perlindungan Tabarru' Khairat Kematian hanya melibatkan pengundi di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata syarat tersebut tidak pernah wujud sebagai antara syarat yang ditetapkan kerajaan negeri bagi menerima bantuan tersebut.

"Tidak ada syarat kalau bukan pengundi di Perak dia tidak akan diberikan (bantuan), asalkan dia anak Perak dia akan dapat.

"Kita cuma tidak mahu tuntutan dua kali, sebab itu kita memeriksa alamat tetapi kita tidak pernah periksa pun dia pengundi ataupun tidak," katanya menjawab soalan Lim Pek Har (DAP-Menglembu) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Rusnah berkata sekiranya pemohon bukannya anak Perak, pemohon tetap boleh mendapatkan bantuan sekiranya ibu atau bapa mereka merupakan anak kelahiran negeri ini.

"Jika pemohon telah lama bermastautin di negeri ini dan mendapat pengesahan dari ketua kampung, dia juga layak menerima bantuan itu," katanya.

Menurut Rusnah, sejumlah 10,917 orang daripada pelbagai bangsa telah membuat tuntutan bantuan di bawah program tersebut dari 2013 hingga 2017 yang bertujuan membantu meringankan beban kewangan dalam pengurusan jenazah.

Katanya pada 2013, bantuan itu telah menyasarkan kepada 14 golongan antaranya miskin tegar yang tinggal sendiri, penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar dengan JKM, imam, bilal dan siak yang berkhidmat di Perak.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata sebanyak 16 program siri dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) berjaya diadakan di peringkat daerah di Perak, sejak ia dilancarkan pada awal tahun lalu.

Shahrul Zaman berkata sehingga kini, siri dialog TN50 itu telah melibatkan seramai 5,364 belia di seluruh negeri Perak dan telah mengumpul 532 aspirasi secara bersemuka melalui sesi-dialog dan 373 post-it pandangan dan aspirasi.

​​"Antara contoh lontaran aspirasi adalah seperti mewujudkan 'home basement' untuk gelandangan di Perak dan ekosistem alam di Perak perlu dipergiatkan termasuk menyediakan tong sampah berkonsep robotik.

​​​​​​"Semua aspirasi, idea dan pandangan yang disuarakan belia Perak dihantar kepada Sekretariat TN50 bagi diperhalusi, diklasifikasikan serta dibincangkan melalui penubuhan lab-lab pemikir yang diketuai ahli pakar dalam satu-satu bidang," katanya menjawab soalan Datuk Mohd Tarmizi Idris (BN-Kenering).

Persidangan DUN yang berlangsung sehari ditangguhkan sehingga suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS