Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Islam adalah sistem cara hidup yang syumul. Ia meliputi keseluruhan ruang lingkup kehidupan kita sama ada berbentuk hubungan dengan tuhan, hubungan sesama manusia, bahkan hubungan dengan alam sekitar.

Perkara asas ini tidak pernah dikhilafkan atau dinafikan oleh mana-mana umat Islam sepanjang zaman.

Maka apabila kita berbicara soal politik Islam, sepatutnya tasawur sama yang wujud dalam kefahaman kita bahawa ia adalah sistem pemerintahan yang meliputi semua aspek kehidupan manusia.

Ia bukanlah bersifat kebajikan samata-mata hingga mengasingkan peranan agama dalam pengurusannya, bahkan ia mempunyai matlamat yang sama seperti syariat Islam itu sendiri.

Jika ia berbeza tidak layak untuk kita kaitkan sistem "politik" tersebut dengan "Islam".

Berdasarkan kefahaman di atas, apa yang syariat larang atau tegah tetap diharamkan oleh politik Islam kerana kedua perkara ini saling berkait dan tidak dapat dipisahkan.

Yusuf al-Qaradawi menyebut berulang kali bahawa tiada istilah "menghalalkan" atas nama politik atau "dibenarkan" atas nama maslahat siyasah.

Kalau ada pun ia pada perkara furuk fikah dan bukanlah asas atau teras kepada syariat.

Sebab itulah al-Juwaini apabila berbicara soal pemerintahan Islam menggambarkan tanggungjawabnya adalah lebih luas daripada sekadar menjaga perut dan kehendak rakyat.

Beliau menggambarkan peranan itu luas sehingga pemerintah bertanggungjawab memelihara agama rakyat itu sendiri, iaitu syariat Islam.

Kemudian apabila kita berbicara soal perkara asas-asas dalam agama (dalam pemerintahan), ia terbahagi pada dua, iaitu:

(1) Menjaga agama dengan seluas-luasnya ke atas umat Islam dan menjaga umat Islam dari segala syubhat yang menyesatkan.

(2) mengajak kelompok kafir dan kelompok penentang untuk mengikut kebenaran Islam.

Jadi bagi memastikan agama ini terus suci daripada golongan yang menyesatkan serta golongan bidaah dan hawa nafsu, menjadi tanggungjawab pemimpin memantau perkara ini atau melantik orang di sekelilingnya untuk memantau dengan ketat . (Kitab Qhiyasul Umam, Darul Dakwah)

Maka sebab itulah boleh kita katakan tindakan kerajaan baru-baru ini yang mengharamkan buku Breaking the Silence: Voices of Moderation - Islam in a Constitutional Democracy yang dihasilkan oleh kelompok liberal G25 adalah menepati semangat "politik Islam" yang sebenar.

Kandungan buku itu secara jelas bertentangan dengan perkara yang disepakati syarak seperti soal khalwat, kahwin campur agama, kebebasan untuk murtad dan pelbagai perkara lain lagi.

Konsep kebebasan beragama dalam politik Islam bukanlah sehingga seseorang itu boleh sesuka hati membawa kefahaman yang sesat terhadap Islam itu sendiri.

Kebebasan itu adalah dengan bebasnya seseorang untuk mengamalkan agamanya selagi mana tidak menggugat Islam yang menjadi teras kepada negara tersebut.

Jadi apa yang kelompok ini lakukan jauh daripada makna kebebasan tersebut.

Kelompok ini secara jelas dan terbuka mengajak masyarakat untuk menafsirkan agama berdasarkan hawa nafsu atau boleh disebut menyesatkan masyarakat daripada kefahaman Islam yang sebenar.

Maka tindakan pemerintah pada saat ini adalah wajib demi maslahat rakyat dan negara ini sendiri.

Bahkan bagi saya pengharaman sahaja adalah tidak cukup.

Kerajaan perlu bertindak lebih tegas terhadap kelompok seperti ini agar ia benar-benar menjadi satu pengajaran kepada mereka dan masyarakat lain yang melihat.

Pengharaman buku semata-mata tanpa tindakan lebih tegas hakikatnya memberi ruang kelonggaran yang menyebabkan kelompok ini semakin berkembang dan semakin mempengaruhi masyarakat kita.

Kita hendaklah sentiasa ingat bahawa ancaman yang mereka bawa bukanlah sekadar terhadap agama kita tetapi hakikatnya mereka sedang mengancam kedaulatan negara yang kita cintai ini.


MUHAMMAD FIRDAUS ZALANI pegawai Penyelidik Majlis Ulama ISMA (MUIS).

Rencana ini adalah pandangan penulis dan organisasinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS