Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suhakam siasat kehilangan paderi Koh dan yang lain
Diterbitkan:  Aug 9, 2017 4:33 PM
Dikemaskini: 8:42 AM

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan menjalankan siasatan awam pada Oktober depan mengenai kehilangan paderi Raymond Koh, aktivis sosial Amri Che Mat, paderi Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth Hilmi.

"Selaras dengan mandat Suhakam, siasatan akan menimbangkan, antara lain, sama ada kes-kes ini adalah kes-kes kehilangan paksa atau tidak disengajakan, seperti yang ditakrifkan di bawah Konvensyen Antarabangsa Bagi Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Yang Dipaksa (ICPPED)," kata suruhanjaya itu dalam Satu kenyataan hari ini.

ICPPED mentakrifkan kehilangan paksa sebagai penangkapan, penahanan, penculikan atau apa-apa bentuk kehilangan kebebasan disebabkan oleh ejen-ejen negara atau oleh orang, atau kumpulan, yang bertindak dengan kebenaran, sokongan atau persetujuan negara.

Instrumen ini telah diterima pakai oleh Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2006. 

Suhakam berkata siasatan itu juga akan mempertimbangkan sama ada pihak berkuasa, khususnya pihak polis, telah mengambil langkah yang mencukupi untuk menyiasat kehilangan itu.

"Suhakam akan terus mengumpulkan maklumat daripada semua pihak berkepentingan, termasuk polis dan orang lain yang telah bekerjasama untuk mencari kebenaran mengenai perkara itu," kata suruhanjaya tersebut.

Suhakam percaya kehilangan itu menjadi isu melibatkan kepentingan awam dan dengan itu membenarkan siasatan.

Koh diculik oleh lelaki bertopeng pada siang hari pada 13 Februari lalu. Che Amri, Joshua dan Ruth pula dilaporkan hilang pada 24 November tahun lepas.

Bulan lalu, polis mengesahkan penculikan Raymond Koh mempunyai kaitan dengan sebuah kumpulan jenayah di Selatan Thailand.

Lihat Komen
ADS