Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
80% bahagian utara TRX tumpu pembangunan komersial
Diterbitkan:  Aug 9, 2017 5:30 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Sebanyak 80 peratus bahagian utara Tun Razak Exchange (TRX), projek ikonik seluas 28.3 hektar di tengah-tengah Kuala Lumpur, menjadi tumpuan bagi pelaksanaan pembangunan komersial atau dalam proses rundingan berkaitan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TRX City Sdn Bhd, Datuk Azmar Talib berkata kumpulan itu kini dalam perbincangan lanjut dengan pelbagai pelabur, termasuk jenama terkemuka dunia dalam bidang perbankan dan kewangan.

"Malah pada hari ini, kami turut disertai pelabur berkelas dunia yang percayakan kepada wawasan kami," katanya dalam ucapan aluan kepada beberapa pemimpin misi yang mengunjungi tapak TRX di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas selanjutnya, Azmar berkata HSBC, antara bank terbesar dunia, juga telah menyatakan komitmen sebanyak US$250 juta (US$1 = RM4.29) bagi pembinaan ibu pejabat baharunya di Malaysia yang terletak di TRX.

"Ini amat signifikan untuk kami kerana HSBC juga adalah antara pihak awal yang percayakan Canary Wharf (di London) dan Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai yang merupakan inspirasi kami.

"Kami turut menerima kehadiran Lendlease yang akan bersama-sama membangunkan (kawasan gaya hidup) Lifestyle Quarters manakala Mulia International Group akan membina Signature Tower, Veolia yang merupakan pemegang konsesi loji rawatan air buangan dan senarai (penyertaan syarikat) itu terus bertambah," katanya.

Menurut Azmar, apabila TRX beroperasi kelak, Stesen TRX akan menjadi stesen paling sibuk di Kuala Lumpur dengan dua perkhidmatan (pengangkutan) dan sehingga 25,000 penumpang sejam pada waktu puncak.

Sementara itu, CEO InvestKL Malaysia, Datuk Zainal Amanshah yang ditemui pada majlis sama berkata, seramai 13 duta dan wakil 21 negara dibawa melawat tapak TRX bagi melihat sendiri perkembangan projek berkenaan.

Ini termasuk wakil United Kingdom, Perancis, Belgium, New Zealand, Kazakhstan, Belanda, China dan Jepun.

“Minat itu masih ketara biarpun timbul kebimbangan mengenai 1Malaysia Development Bhd. Keyakinan pelabur tetap ada berikutan asas-asas (negara) yang terus kukuh.

"Sejajar tumpuan terhadap Digital Malaysia, kami juga sedang berusaha untuk menarik syarikat-syarikat membuka hab mereka di sini," katanya.

Zainal berkata InvestKL menyasarkan untuk menarik penyertaan 10 syarikat multinasional (MNC) pada tahun ini dan berada di landasan tepat bagi mendapatkan 100 MNC menjelang 2020.

"Tahun ini ternyata amat baik. Kami berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Setakat ini, InvestKL telah menarik 65 MNC dengan pelaburan yang diluluskan serta komitmen pelaburan bernilai lebih RM10 bilion (sejak 2011) dan mewujudkan 10,000 pekerjaan serantau.

"Semuanya berjalan lancar dengan pelaburan yang direalisasi mencecah lebih 30 peratus manakala pekerjaan pula melebihi 60 peratus,” katanya.

 

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS