Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PKR Kelantan dijangka pertahan jawatan 'demi akar umbi'
Diterbitkan:  Aug 9, 2017 9:00 PM
Dikemaskini: 1:04 PM

Seorang bekas pemimpin PKR Kelantan meragui isu peletakan jawatan lantikan politik di negeri itu boleh diselesaikan walaupun pengerusinya dipanggil untuk memberi penjelasan.

Bekas Ketua Biro Pendidikan PKR Kelantan Yusoff Abdollah berkata dipercayai pemimpin yang dipanggil akan berhujah dengan menggunakan alasan "suara akar umbi".

"Jika ini berlaku, bayangkan apa akan jadi kepada Pakatan Harapan di Kelatan. 

"Sudahlah mereka ingkar untuk meletak jawatan, sekarang mahu mengheret presiden dan ketua umum untuk memikul biawak hidup yang boleh merosakkan nama parti serta maruah pimpinan pusat," katanya.

Biro Politik PKR pada 16 Mei lalu memberi arahan kepada PKR Kelantan supaya meletakkan jawatan yang diperolehi melalui lantikan politik ekoran berakhirnya kerjasama antara parti itu dengan PAS.

Arahan itu menyebut peletakan jawatan berkenaan berkuat-kuasa serta merta. 

Bagaimanapun sehingga hari ini arahan berkenaan tidak dilaksanakan apabila hampir tiada seorang pun melepaskan jawatan yang diberi kerajaan PAS.

Beberapa alasan diberikan PKR untuk menjelaskan mengapa arahan berkenaan belum dilaksanakan, termasuk menunggu arahan rasmi dari pusat.

Semalam Malaysiakini melaporkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjelaskan anggota parti itu yang dilantik kerajaan negeri belum melepaskan jawatan kerana menunggu tunggakan bayaran yang sepatutnya dijelaskan Kelantan.

Anggota parlimen Permatang Pauh itu menjelaskan sebelum ini semua penjawat lantikan politik tersebut menggunakan wang sendiri bagi membantu rakyat di kawasan masing-masing.

Hari ini pula Malaysiakini melaporkan Biro Politik PKR akan mendengar "rayuan" daripada ketua perhubungan parti itu di Kelantan.

Memetik sumber Pengerusi PKR Kelantan Ab Aziz Ab Kadir akan hadir ke mesyuarat mingguan biro itu pada Selasa depan.

Yusof berkata apa yang dilakukan sesetengah pemimpin PKR di Kelantan menyebabkan parti itu tidak lagi diyakini rakyat.

"Kalau melawan sikit, kena pecat 24 jam, tanpa bicara. Kadang-kadang nampak lebih garang daripada pemimpin Umno," katanya.

Menurut Yusof sejak awal tahun ini ada tiga kekosongan dalam PKR Kelantan - sama ada disebabkan pemecatan atau penyandangnya meletak jawatan - yang gagal diisi.

"Demi mengekalkan lantikan politik di Kelantan mereka masih terus mahu 'bermukah' walau sudah dicerai talak tiga oleh PAS.

"Kita mahu ingatkan, jangan kerana sesetengah pemimpin PKR, HARAPAN pula yang menghadapi masalah sehingga menjejaskan harapan rakyat membuat perubahan dalam negara berkecai," katanya.

Lihat Komen
ADS