Kerajaan gadai maruah demi pembangunan, kata PERKASA

   

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) tampil membidas Majlis Pecah Tanah Projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) di Kuantan hari ini yang didakwa menghilangkan identiti negara.

Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali berkata, majlis itu membuktikan membuktikan negara sudah dijajah melalui ekonomi.

"PERKASA sangat kecewa identiti negara hilang dalam majlis tersebut. Kelihatan bendera sepanjang jalan dalam bahasa Mandarin. Satu bendera Malaysia pun tidak ada.

"Apakah tidak dibenarkan bendera Malaysia diletak atau digantung untuk majlis tersebut?" soal beliau dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, majlis pecah tanah projek mega bernilai kira-kira RM55 bilion tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut perkara itu, Syed Hassan berkata, lebih malang lagi pengacara majlis berbahasa Mandarin kemungkinan dibawa dari China.

Menurut beliau, hal ini merupakan permulaan penafian bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

"Lori-lori dan jentera berat juga dibawa dari China. PERKASA mahu tahu apakah pemandu lori-lori dan pengendali mesin-mesin khas untuk pembinaan track keretapi itu juga dari negara China?

"Jika benar, apakah rakyat tempatan tidak mampu memandu atau mengedalikannya? Dan berapa ramai pekerja dari tanah besar China akan dibawa masuk untuk bekerja di projek ECRL ini?" katanya.

Tambah beliau, pihaknya dimaklumkan majlis pecah tanah tersebut seperti bukan di Malaysia susulan dipenuhi dengan bendera-bendera tulisan Mandarin.

"PERKASA menganggap pemimpin kerajaan sekarang sanggup gadai maruah negara dan bangsa demi projek pembangunan.

"Hal ini tidak berlaku semasa negara membina KLIA, Putrajaya, ERL, LRT, Litar Formula One, West Port, Menara Berkembar Petronas dan lain-lain projek mega negara sebelum ini.

"Di manakah jati diri pemimpin-pemimpin negara sekarang," tegas beliau.
 

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda