Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Exco: Wang amanah saliran Pulau Pinang tak diseleweng
Diterbitkan:  Aug 10, 2017 3:37 PM
Dikemaskini: 8:42 AM

Wang Amanah Saliran Negeri Pulau Pinang yang dikutip oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) tidak diselewengkan sebaliknya digunakan untuk menangani masalah banjir di negeri itu, kata Pengerusi Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow.

Beliau berkata wang amanah itu digunakan dengan sebaiknya untuk melaksanakan projek-projek tebatan banjir di seluruh Pulau Pinang.

Bagi tempoh 2008 hingga 2017, Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Tebatan Banjir telah meluluskan perbelanjaan sebanyak RM176.9 juta untuk projek tebatan banjir walaupun kutipan bagi tempoh itu hanya berjumlah RM131.9 juta.

"Selain menggunakan Wang Amanah Saliran, kerajaan negeri juga telah menunjukkan keprihatinannya dengan meluluskan RM150 juta dalam Belanjawan 2017, untuk melaksanakan sembilan projek tebatan banjir yang berimpak tinggi.

"Ini membuktikan ketegasan pihak kerajaan negeri Pulau Pinang dalam usaha menangani masalah banjir kilat di negeri ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Laporan Audit Negara 2016 Siri 1 yang dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai lepas menyebut MPSP tidak menyerahkan semua wang hasil kutipan caruman saliran kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pulau Pinang (JPSPP) untuk diakaunkan.

Laporan itu menyebut bahawa sehingga Jun 2016, sejumlah RM22.09 juta baki wang caruman masih belum diserahkan kepada JPSPP.

Berikutan itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti Dr Norlela Ariffin dan ADUN Pulau Betong Datuk Muhamad Farid Saad mengkritik tindakan MPSP dan mendakwa projek-projek tebatan banjir tidak dapat dilaksanakan.

Chow berkata kerajaan negeri, JPSPP dan MPSP mengamalkan sikap telus menerima teguran Audit bahawa ada kelemahan dalam penyerahan hasil kepada Akaun Amanah Saliran.

Justeru, katanya, MMK kerajaan negeri dan MMK Tebatan Banjir telah mengeluarkan arahan kepada MPSP pada tahun 2016 untuk menyerahkan baki kutipan terkumpul kepada JPSPP yang dijangka akan diselesaikan sebelum akhir tahun ini.

"Kutipan semasa perlu diserahkan kepada JPSPP setiap tiga bulan supaya projek-projek tebatan banjir dapat diluluskan untuk pelaksanaan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS