Peguam yang mewakili pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dan ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa mereka sedang memohon untuk mendapatkan senarai saksi yang akan dipanggil oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian pertukaran asing Bank Negara.
"Kami akan menulis kepada Suruhanjaya itu supaya membekalkan kami dengan senarai saksi yang mereka mahu panggil," kata peguam Anwar, R Sivarasa kepada Malaysiakini.
Sivarasa berkata beliau juga memohon suruhanjaya untuk membekalkan salinan dokumen yang akan dikemukakan oleh pegawai pengendali semasa siasatan.
Ditanya mengenai bahan lain yang akan dimohon, Sivarasa berkata ini adalah permulaan.
"Mari kita lihat sama ada mereka akan tunaikan permohonan ini dahulu," katanya.
Peguam Mahathir, Mohamed Haniff Khatri Abdulla juga mengesahkan bahawa beliau akan menulis, kepada suruhanjaya itu untuk mendapatkan senarai saksi.
"Kami akan menulis untuk meminta senarai saksi dan dokumen, tetapi belum melakukannya kerana ini lebih penting," katanya.
Haniff merujuk kepada perintah mahkamah yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi pihak Mahathir semalam.
Mahathir sedang berusaha untuk memaksa RCI yang sedang berlangsung untuk melucutkan keanggotaan dua ahlinya. Beliau juga memohon perintah mahkamah untuk memaksa kerajaan persekutuan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan pelantikan kedua-dua individu berkenaan.
Perintah mahkamah juga dipohon untuk menangguhkan sesi RCI sehingga kes mahkamah selesai dibicarakan.
Semasa sidang RCI Selasa lalu, Sivarasa dan Haniff mempersoalkan keanggotaan Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Tan Sri Saw Choo Boon dalam panel RCI yang terdiri daripada enam anggota.
Mereka berkata kedua-dua anggota itu adalah sebahagian daripada pasukan petugas khas kabinet yang mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan RCI, dan oleh itu, kebercualian mereka mungkin dikompromi.
