Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JPNT nafi mangsa buli dipaksa lakukan seks oral
Diterbitkan:  Aug 10, 2017 6:47 PM
Dikemaskini: 10:49 AM

Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menafikan laporan sebuah portal akhbar berbahasa Inggeris kononnya dua daripada tiga mangsa buli sebuah kolej vokasional di Kuala Terengganu telah dipaksa melakukan seks oral oleh pelajar senior, Selasa lepas.

Pengarahnya, Shafruddin Ali Hussain berkata hasil siasatan mendapati perkara itu tidak berlaku sama sekali dan ianya telah dinafikan oleh tiga mangsa buli terbabit.

"Kita telah bertanyakan perkara itu kepada mangsa di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan mereka mengakui tidak wujud perkara itu (arahan melakukan seks oral).

"Jadi, jabatan berharap akhbar berbahasa Inggeris itu membuat ralat, menarik balik laporan dan membuat permohonan maaf kepada pihak sekolah dan mangsa kerana ia memberi imej yang negatif dan akan merisaukan ibu bapa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Hari Koperasi Negara 2017 Peringkat Negeri Terengganu hari ini.

Shafruddin berkata beliau difahamkan maklumat tidak betul itu diperoleh dari kawan mangsa dan bukannya dari percakapan mangsa sendiri.

"Kita terkilan dengan laporan itu. Untuk jabatan, cukup sekadar mereka meminta maaf namun jika ibu bapa mahu mengambil tindakan, itu terpulang kepada mereka, hak mereka," katanya.

Semalam, seramai 15 pelajar kolej vokasional itu ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan berhubung kes buli membabitkan tiga pelajar di kolej berkenaan.

Kesemua pelajar terbabit disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh selepas dipercayai terlibat membuli tiga pelajar tahun satu dan dua di kolej berkenaan dalam tiga kejadian dengan yang terkini pada awal pagi hari Selasa lepas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS