Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siasatan kes kilang haram, SPRM ambil dokumen di MPSP
Diterbitkan:  Aug 10, 2017 7:38 PM
Dikemaskini: 11:41 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) hari ini mengambil beberapa dokumen dari pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Bandar Perda, di Bukit Mertajam bagi membantu siasatan berhubung kes sebuah kilang beroperasi secara haram di Sungai Lembu sejak 10 tahun lepas.

Sepasukan pegawai SPRM tiba di bangunan MPSP kira-kira 10.30 pagi dan beredar dari pejabat pihak berkuasa tempatan itu bersama beberapa dokumen berkaitan kira-kira tiga jam kemudian.

Menurut sumber, dokumen itu diambil bagi membantu siasatan kes kilang memproses serbuk kayu yang beroperasi sejak 10 tahun lepas dikatakan tanpa permit di atas tanah berstatus tanah pertanian.

"Kami turut menyerbu kilang berkenaan dan merampas dokumen-dokumen berkaitan di premis itu dan SPRM turut menahan penyelia kilang itu berusia 70 tahun. Dia dibawa ke pejabat SPRM cawangan Seberang Perai untuk diambil keterangan," katanya.

Sebanyak 50 pegawai dan anggota SPRM dibantu Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Putrajaya terlibat dalam operasi itu.

Sumber itu berkata dalam operasi itu pihak LHDN turut mengambil beberapa dokumen dipercayai berkaitan tidak melaporkan pendapatan dengan betul dan pihak Imigresen pula menahan sembilan pekerja kilang terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita Myanmar kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah serta tiada permit kerja.

"Jabatan Alam Sekitar pula mendapati kilang terbabit tidak mempunyai sistem kawalan pencemaran udara dan akan mengambil tindakan atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling 2014,” katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan mengenai operasi itu dan siasatan sedang dijalankan.

Isu berhubung kilang haram itu pernah dibangkitkan Anggota Dewan Undangan Negeri Penanti Norlela Ariffin semasa persidangan Dewan Undangan Negeri yang mendakwa banyak kilang haram dibiar beroperasi di Penanti tanpa tindakan lanjut oleh kerajaan negeri, malah sesetengah kilang itu tidak mengikut garis panduan keselamatan, selain tidak mematuhi prosedur alam sekitar.

- Bernama

Lihat Komen
ADS