Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada hari Khamis mengucapkan 'terima kasih' kepada Presiden Rusia Vladimir Putin kerana mengarahkan Amerika Syarikat mengurangkan kakitangan diplomatiknya di Russia.
Selepas dua minggu membisu selepas Putin mengarahkan jumlah kakitangan kedutaan dan konsulat AS dikurang hampir dua pertiga, Trump berkata: "Saya berterima kasih kerana dia mengurangkan sejumlah besar kakitangan kerana kini jumlah bayaran gaji sudah kurang".
Trump berkata "tidak ada sebab bagi mereka untuk kembali" dan "kita akan menjimatkan banyak wang," dalam responsnya yang berbeza daripada reaksi presiden lain dalam keadaan yang sama pada masa lalu.
Ia juga bercanggah dengan kenyataan pegawai Jabatan Negara yangmenyifatkan arahan Moscow itu sebagai "satu tindakan yang dikesali dan tidak wajar."
Pada hari Khamis, Jabatan Negara tidak memberi reaksi segera terhadap komen Trump yang dibuat kepada pemberita semasa bercuti di kelab golfnya di Bedminster, New Jersey.
Jawatankuasa Kongres dan seorang peguam khas sedang menyiasat kesimpulan agensi-agensi perisikan AS bahawa Russia campur tangan dalam kempen pilihan raya presiden 2016 dengan menggodam dan menggunakan kaedah lain untuk membantu Trump.
Mereka juga melihat kemungkinan wujud pakatan sulit antara kempen Trump dengan pegawai Russia. Moscow telah berulang kali menafikan campur tangan dalam pilihan raya AS dan Trump turut menafikan wujud sebarang pakatan sulit kempen.
Putin, yang bertindak balas terhadap sekatan baru yang dikenakan oleh Kongres AS dan kemudiannya ditandatangai oleh Trump, mengarahkan Washington mengurangkan 755 daripada 1,200 kakitangan kedutaan dan konsulatnya pada September. Kebanyakan mereka yang terlibat mungkin kakitangan di kalangan rakyat Russia.
Ia juga merupakan tindak balas kepada bekas Presiden Barack Obama yang mengusir 35 diplomat Rusia dari Amerika Syarikat pada Disember lalu atas laporan agensi perisikan.
Semasa kempennya dan sejak menjadi presiden, Trump secara konsisten mahukan hubungan yang lebih baik dengan Russia, enggan mengkritik Putin. [Baca berita penuh]
- Reuters
