Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Zulkifli Mohamad al-Bakri hari ini menyarankan agar konsep anak tidak sah taraf diperluas serta diperjelaskan dengan sebaik mungkin.

Zulkifli berkata, ini kerana terdapat pernikahan yang tidak menepati prosedur seperti nikah fasik.

"Yang ini kita sebut dalam fatwa kita dalam Bayan Linnas dan yang inilah yang difatwakan oleh ulama dengan sifatnya seperti nikah fasik, pernikahan yang tidak menepati prosedur yang sebenarnya.

"Memang luas, bukan satu semata-mata," kata Zulkifli kepada pemberita selepas majlis Bicara Ilmiah Anak Tidak Sah Taraf di Bangi, hari ini.

Pada 27 Julai lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa seorang anak yang dilahirkan di luar nikah boleh dibin nama bapanya dan fatwa mengenainya oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai kuasa undang-undang.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang menulis keputusan sebulat suara itu berkata, bidang kuasa ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengenai perkara itu adalah sivil dan terbatas.

Mengulas lanjut, Zulkifli dalam masa yang sama turut menyarankan agar satu pendidikan baru untuk anak tidak sah taraf.

Kata Zulkifli, hal ini perlu dibuat bagi berlaku adil kepada anak berstatus tidak sah taraf terbabit.

"Apa salahnya kita datang satu peruntukan baru ini, kita berlaku adil, kita jelaskan dan kita kena ada mungkin satu pendidikan baru iaitu kita kena ada satu semangat untuk jaga anak-anak seperti ini untuk ditarbiyah, itu hak sebenar," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia Datuk Zainul Rijal Abu Bakar turut bersetuju agar konsep anak tidak sah taraf diperhalusi.

"Tetapi dikalangan orang yang berilmu, bukan Mahkamah Sivil terus buat keputusan dan sebagainya.

"Sebab dalam Islam bukan saja ada anak tak sah taraf, ada juga anak syubhah yang jarang-jarang dibincangkan," katanya.

Tambahnya, selain itu seksyen 110 hingga 120 Akta undang-undang keluarga Islam (Wilayah-wilayah persekutuan) 1984 yang memperuntukkan tentang kesahtarafan anak sepatutnya dirujuk juga, selain perlu dibuat pindaan dan diperhalusi seperti yang disarankan oleh Mufti Wilayah.

Lihat Komen
ADS