Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Asing cawan di sekolah tak gambar ajaran Islam sebenar - Zambry
Diterbitkan:  Aug 11, 2017 5:48 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan dasar sebuah sekolah kebangsaan di Hulu Langat, Selangor yang mengasingkan cawan pelajar Islam dan bukan Islam sebagai mendukacitakan dan tidak menggambarkan ajaran Islam yang sebenar.

Beliau berkata perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku terutama di dalam negara yang hidup dalam suasana kepelbagaian dan berharap perkara seumpama tidak berlaku di Perak.

"Ini seolah-olah kita nak menggambarkan bahawa Islam keras dan tidak bertoleransi langsung sedangkan Islam adalah agama sifatnya kesejahteraan kepada semua.

"Kita tidak mahu perkara ini berlaku di Perak dan saya tidak suka ada pihak yang cuba memisahkan kehidupan kita iaitu kehidupan bernegara," katanya dalam sidang media pada Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Elemen @Seri Manjung di Kampung Datuk Seri Kamarudin, di sini hari ini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan sekolah berkenaan telah meletakkan label ‘Murid Islam’ dan ‘Murid Bukan Islam’ pada setiap cawan yang diletakkan bersebelahan mesin pembahagi air di sebuah blok bangunan di sekolah itu dipercayai untuk kegunaan murid-murid.

Laporan itu turut memetik kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang menyifatkan perkara tersebut berunsurkan perkauman selain mendorong kebencian dan penghinaan terhadap kaum lain.

Mengenai majlis itu, Zambry berkata projek rumah mampu milik berkenaan merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan memiliki rumah.

"Perak antara negeri terbaik dari segi pemilikan harta termasuk pemilikan rumah dalam kalangan rakyat berbanding negeri yang berpendapatan tinggi yang lain," katanya.

Projek perumahan itu melibatkan pembinaan dua blok bangunan pangsapuri 14 tingkat yang menawarkan 208 unit kediaman berharga antara RM170,000 dan RM200,000.

Projek bernilai RM40 juta yang dilaksanakan oleh Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan itu dijangka siap pada 2020, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS