Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kesesakan di lokasi kemalangan babitkan lori bawa asid
Diterbitkan:  Aug 12, 2017 1:22 PM
Dikemaskini: 5:32 AM

Aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan masih sesak ekoran kemalangan yang melibatkan sebuah lori tangki yang membawa muatan asid kimia dan sebuah kenderaan di KM 256 berhampiran tol Senawang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam Khamis berkata kesemua laluan di kedua-dua arah masih ditutup bagi kerja-kerja membersihkan sisa tumpahan bahan kimia itu.

Tinjauan Bernama di lebuh raya berkenaan mendapati kesesakan berlaku sepanjang kira-kira 10 kilometer.

Kemalangan yang berlaku pada pukul 3 pagi itu menyebabkan pemandu lori berkenaan, Surazru Mohamed Sakeri, 37, dari Manek Urai, Kelantan, maut manakala dua wanita yang merupakan pemandu dan penumpang kereta jenis Toyota Vios cedera parah.

Mayat pemandu lori dan dua mangsa yang cedera itu dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.

Tinjauan juga mendapati kren digunakan untuk mengangkat dan mengalihkan lori terbabit dari lokasi kemalangan.
Operasi pembersihan dibantu beberapa agensi lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar dan peronda lebuh raya utara selatan PLUS.

- Bernama

Lihat Komen
ADS