'Krisis Umno di Pagoh tak seperti Permatang Pauh'

       

Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi isyarat jelas kepada Umno bahagian Pagoh supaya tidak dibelenggu nostalgia kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, Umno Johor sangat beruntung kerana 'gelora' di Pagoh sebelum ini tidak melarat dan membawa kepada keretakan Umno ‎negeri itu.

"Krisis yang melanda (Umno) Pagoh tidak merebak. Ia hanya sementara dan telah reda. Kita tidak melihat berulangnya kelumpuhan seperti Umno di Permatang Pauh 20 tahun dahulu," katanya ketika berucap pada mesyuarat perwakilan Umno bahagian Pagoh, di Pagoh, hari ini.

Permatang Pauh dianggap sebagai kerusi tradisi PKR sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada kerajaan pada 1998. Kerusi itu kini disandang isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga merupakan ketua pembangkang.

Kenyataan itu mengulas mengenai krisis dihadapi Umno Pagoh selepas Muhyiddin yang juga bekas timbalan perdana menteri dan ketua bahagian itu dipecat daripada parti itu tahun lalu.

Mohamed Khaled yang juga menteri besar Johor berkata, Umno bahagian itu mesti beralih kepada fasa baru dan merencanakan kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.

"Kita mesti menang kerana ramai sekali yang beranggapan bahawa Pagoh berhadapan cabaran besar untuk Umno dalam pilihan raya akan datang.

"Bagi saya cabaran dalam politik itu adalah lumrah dan akan sentiasa hadir. ‎Masakan ada perjuangan tanpa cabaran. Masakan ada samudera tanpa gelora. Masakan Malaysia yang moden ini tidak mempunyai pancaroba. Tanpa semua itu, maka tidak adalah perjuangan," katanya.

Sementara itu Mohamed Khaled berkata, ‎semangat Pagoh harus diteladani oleh Umno di seluruh negara.

Ini kerana katanya, Umno Pagoh sangat bijaksana, strategik dan matang dalam menangani krisis.

"Pagoh tahu keutamaan mereka. Pagoh tidak mudah dihanyutkan oleh isu. Pagoh bukan bahagian yang merajuk-rajuk panjang dan mengamuk membuta tuli.

"Sebaliknya, Umno Pagoh tahu dalam perjuangan, kesetiaan pada perjuangan itu mutlak. Ia tidak boleh dikompromi. Ia tidak boleh dijual beli dan ditukar ganti," katanya.

Terdahulu, mesyuarat perwakilan Umno bahagian Pagoh itu dirasmikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Pemangku Ketua Umno bahagian Pagoh, ‎Ismail Mohamed.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda