Exco P Pinang ditahan reman 5 hari

       

Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, ditahan reman selama lima hari.

Pendaftar Mahkamah, Ameera Mastura Khamis mengeluarkan perintah tahanan reman itu hari ini.

Phee tiba di mahkamah dengan van polis kira-kira pukul 10 pagi dengan tangan bergari dan memakai baju tahanan SPRM. Beliau disambut oleh isteri, anggota keluarga dan penyokongnya.

Di luar mahkamah, penyokong Phee berkumpul sejak pukul 9 pagi dengan membawa sepanduk serta menjerit slogan seperti "SPRM jangan buli".

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, timbalan ketua menteri P Ramasamy serta beberapa exco dan ADUN Pulau Pinang turut hadir.

Peguam RSN Rayer, Ramkarpal Singh Deo dan K Pathiban mewakili Phee.

Phee ditahan atas dakwaan penyalahgunaan kuasa berhubung surat yang dikeluarkan oleh pejabatnya melibatkan kilang penapis karbon haram di Penanti, Pulau Pinang yang telah beroperasi selama 15 tahun.

Phee menjaga portfolio kebajikan, masyarakat penyayang dan alam sekitar.

ADUN Sungai Puyu itu ditahan ketika beliau memberikan keterangan di pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad Shah petang semalam.

Pegawai SPRM menyerbu pejabatnya di Komtar dan kediamannya di Butterworth dengan merampas dokumen dan fail berkaitan dengan kes itu, semalam.

Sementara itu, pengarah kilang Edmund Gan Eu Leong, 37 dan bapanya yang juga pengurus kilang berkenaan, Gan Buck Mee, 70 juga ditahan selama lima hari untuk membantu siasatan.

Di luar mahkamah, peguam bagi kedua-duanya, Dev Kumaraedran berkata mereka "ditahan secara haram" kerana majistret memutuskan reman itu tanpa mempertimbangkan pandangan anak guamnya.

[Baca berita penuh]

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda