Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
P Pinang 'tak sentuh' bangunan haram sebelum 2008 - Guan Eng

Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak mengambil tindakan terhadap semua bangunan, rumah ibadat atau penjaja yang beroperasi secara haram dan wujud sebelum 2008.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata perkara itu dijadikan sebagai dasar kerajaan DAP selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada 2008.

"Kami ambil keputusan bahawa semua bangunan haram termasuk kilang tidak akan disentuh kecuali jika ia mengganggu orang awam dan aliran trafik sehingga satu penyelesaian dapat dicapai. Kami tidak mengehadkan tempoh untuk penyelesaian yang baik antara semua pihak.

"Tapi kami selalu sebut kami cuba kurangkan ambil langkah mitigasi untuk kurangkan mana-mana kesan negatif sekiranya timbul," katanya kepada pemberita ketika hadir di perkarangan Mahkamah Majistret, di George Town hari ini.

Beliau hadir bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri dan beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan memberi sokongan dan solidariti kepada exco kerajaan negeri yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes sebuah kilang beroperasi secara haram di Kampung Sungai Lembu, Bukit Mertajam sejak 10 tahun lepas.

Selain itu, turut ditahan lelaki dua beranak masing-masing berusia 70 dan 37 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan exco itu pada 3.35 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang bersama peguambela RSN Rayer selepas pejabatnya di Tingkat 53, bangunan Komtar dikunjungi lima pegawai SPRM pada 11.30 pagi.

Lelaki berusia 70 tahun itu pula ditahan pada 6.05 petang manakala anak lelakinya ditahan 20 minit kemudian di pejabat SPRM Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Lim berkata justeru, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana bangunan, rumah ibadat atau penjaja yang beroperasi secara haram selepas 2008, bagaimanapun ia bergantung kepada keperluan.

Berikutan itu, beliau mempersoal tindakan SPRM menahan exco kanan kerajaan pimpinan DAP itu memandangkan ADUN berkenaan hanya melaksanakan dasar kerajaan negeri.

"Dalam kes ini saya belum dapat maklumat terperinci. Kilang itu berada atas tanah sendiri dan bukan di atas tanah kerajaan. Sudah tentu ini diluluskan oleh YB (Yang Berhormat) itu sebagai anggota exco,” kata Lim.

Beliau berkata barisan kepimpinan kerajaan negeri percaya ADUN itu tidak menerima sebarang suapan kerana beliau hanya menjalankan tugas sebagai anggota exco, selain tidak mempunyai kepentingan peribadi malah hubungan keluarga dengan kilang itu.

"Semua tahu YB itu sebelum menjadi anggota exco adalah seorang yang kaya. Malah beliau anggota exco yang paling kaya. Itu atas warisan keluarganya yang berjaya dan kaya. Dia tidak menerima suapan. Semua orang yakin dan percaya. Beliau punya bisnes keluarga sendiri yang tiada kaitan dengan kilang ini," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS