Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Korea Utara umum 3.5 juta tentera sukarela
Diterbitkan:  Aug 12, 2017 6:44 PM
Dikemaskini: 10:50 AM

Korea Utara pada Sabtu mengumumkan hampir 3.5 juta pekerja, anggota parti dan tentera sukarelawan di negara itu bersedia menyertai tenteranya bagi menentang sekatan terbaru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat dalam ketegangan geopolitik antara Pyongyang dan Washington.

Rodong Sinmun, akhbar rasmi Korea Utara, berkata para sukarelawan berkenaan menawarkan diri untuk menyertai atau bergabung dengan Tentera Rakyat Korea selepas agensi berita KCNA mengeluarkan kenyataan pada Isnin mengutuk sekatan baru yang dikenakan PBB ekoran tindakan negara itu melancarkan ujian peluru berpandu.

Awal minggu ini, Korea Utara yang bersenjata nuklear mengancam untuk menyerang Amerika Syarikat dan wilayah Pasifiknya di Guam, lapor Reuters.

KCNA berkata pada Rabu perhimpunan besar diadakan di Pyongyang untuk menyokong kerajaan. Korea Utara sebelum ini menggerakkan orang ramai untuk menunjukkan sokongan.

Pada bulan Ogos 2015, sejuta warga Korea Utara menawarkan diri untuk mendaftar diri dalam tentera ketika ketegangan antara negara itu dan Korea Selatan semakin meningkat.

Korea Utara turut memberi amaran kepada diplomat asing meninggalkan Pyongyang pada 2013 dan mengancam serangan peluru berpandu di pangkalan AS di Pasifik, terutama di Guam dan Hawaii.

Lihat Komen
ADS