Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengingatkan perwakilan dan kepimpinan Umno bahagian Pagoh sepaya tidak taasub kepada individu yang sudah tidak bersama parti itu.

Sebaliknya tegas beliau, ketaasuban kepada organisasi adalah ‎keutamaan mereka sebagai ahli Umno.

‎"Rasa kekitaan di kalangan kita bukan kerana kita taasub kepada pemimpin, walaupun pemimpin itu tidak berada lagi bersama kita.

"Ketaasuban kita adalah ketaksuban kita kepada organisasi kita iaitu parti kita ‎Umno. Ia kini menjadi hakikat dan insya-Allah kini sedang diterjemahkan oleh ahli Umno di pagoh," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pagoh hari ini.

Beliau mengimbau perpecahan Umno pada tahun 1988 dan 1998‎ dengan membuat perbandingan pergolakan di Pagoh selepas pemecatan anggota parlimennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Umno tahun lalu.

Muhyiddin yang kini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) dinggap mempunyai pengaruh tersendiri selepas tujuh penggal menjadi wakil rakyat di Pagoh.

Justeru Ahmad Zahid mengingatkan pemimpin akar umbi bahagian itu supaya mengutamakan parti berbanding pemimpin berkenaan.

‎"Ketaksuban itu ada koma dan titik nokhtahnya. Yang penting akhirnya Umno adalah parti kita, termasuklah ketaasuban yang digambarkan pada ketika itu kepada orang saya sedang bercakap.

"Tetapi oleh kerana Umno itu lebih penting, maka kita dahulukan Umno daripada individu yang pernah kita taasub itu.

"Ya Umno ada serpihannya sebagaimana pada 1988, hanya 10 tahun selepas itu Umno terserpih semula," jelasnya.

Bagaimanapun beliau menyatakan keyakinan bahawa titik hitam yang berlaku di Pagoh tidak sama seperti krisis Umno pada 1988 dan 1998.

Mengulas mengenai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang, Ahmad Zahid berkata Umno kini tidak mempunyai banyak waktu dan harus bersiap sedia daripada sekarang.

"Kita bergerak dari sekarang, jentera kita harus berjalan lancar, perbalahan yang ada harus diketepikan. Kerana tempoh yang singkat ini kita tidak mahu berpecah, kita hanya mahu kemenangan di peringkat negeri dan peringkat pusat," katanya.

'Tuan-tuan hanya boleh jimak'

Terdahulu beliau tiba di Dewan Pekembar, Pagoh kira-kira jam 1 petang disambut meriah dengan ‎persembahan pencak silat dan paluan kompang.

Turut mengiringnya Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, Timbalan Menteri Dalam Negeri‎, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Pemangku Ketua Umno Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed.

Timbalan perdana menteri itu hari ini turut mencuri tumpuan ketika mahu memulakan ucapannya dengan gurauan tersendiri.

Sebaik berada di depan mikrofon, beliau mengingatkan anggota Umno yang hadir agar menunaikan solat Zuhur terlebih dahulu.

"Saya lihat jam 2.30, saya boleh jamak sebab saya musafir. Tuan-tuan tak boleh jamak, hanya boleh jimak.

"Saya akan pendekkan ucapan, hingga sebelum waktu asar," katanya disambut gelak-ketawa perwakilan.

Lihat Komen
ADS