Rasuah apa Phee lakukan, soal Guan Eng pada SPRM

       

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata seluruh barisan exconya bersedia menghadapi tindakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana "tiada apa hendak disembunyikan atau melarikan diri".

Bagaimanapun, Lim berkata beliau masih tidak tahu mengapa Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang, Phee Bon Poh ditahan SPRM Jumaat lalu.

"Kami mahu tahu fakta kes itu. Adakah menghantar surat untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan mengenai dasar kerajaan dianggap salah guna kuasa? "soal Lim ketika ditemui di luar Mahkamah Majistret di Georgetown.

Mahkamah berkenaan hari ini mengeluarkan perintah tahanan reman selama lima hari kepada Phee.

"Adakah minta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tidak merobohkan premis, kuil atau perniagaan yang menyalahi undang-undang sehingga kita dapat mencari penyelesaian yang tepat untuk semua pihak dianggap rasuah?" katanya.

Lim mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki yang memberi amaran lebih banyak tangkapan akan dilakukan berikutan penahanan Phee kerana dakwaan salahguna kuasa berkaitan surat yang dihantarnya kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Dalam surat itu, Phee meminta PBT itu menghentikan tindakan terhadap kilang haram berusia 15 tahun di Sungai Lembu, Pulau Pinang sehingga penyelesaian selanjutnya dicapai antara pihak berkenaan.

Dua lagi individu, Edmund Gan Eu Leong dan bapanya, Gan Buck Mee yang masing-masing merupakan pengarah dan pengurus kilang tersebut turut direman selama lima hari.

[Baca berita penuh]

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda