mk-logo
Berita
Wan Azizah, Azmin kunjungi Hadi
Diterbitkan:  Aug 13, 2017 11:20 AM
Dikemaskini: 6:40 AM

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerima kunjungan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Datuk Seri Azmin Ali di ibu negara malam semalam.

Turut serta dalam pertemuan itu ialah Naib Presiden PKR, Dr Shaharuddin Badaruddin.

Gambar pertemuan itu dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi Abdul Hadi.

"Menerima kunjungan ziarah oleh pimpinan PKR pada malam ini di Kuala Lumpur," jelasnya di laman sosial berkenaan.

Bagaimanapun, tiada maklumat terpeinci dinyatakan mengenai tujuan dan hasil pertemuan tersebut.

Mei lalu, Majlis Syura Ulama PAS menerima usul dibawa dalam muktamar parti itu bagi memutuskan bahawa tahaluf siyasi dengan PKR terbatal selepas mendakwa begitu banyak pelanggaran syarat tahaluf siyasi yang dilakukan PKR.

Susulan itu, Biro Politik PKR mengeluarkan arahan supaya semua penjawat lantikan politik di Kelantan meletakkan jawatan.

Bagaimanapun sehingga kini arahan berkenaan tidak dilaksanakan. Beberapa alasan diberikan PKR, termasuk menunggu arahan rasmi dari pusat.

Di Selangor pula, Azmin yang juga menteri besar membuat keputusan mengekalkan tiga exco PAS dalam kerajaan negeri meskipun kerjasama politik telah terputus antara kedua parti itu.

Sementara itu, ketika PKR dilihat cuba berlembut, PAS pula mengumumkan tidak akan teragak-agak untuk meletakkan calon di kerusi yang berpotensi dimenanginya, termasuk kawasan yang ditandingi PKR.

Malah PAS melancarkan jentera pilihan rayanya di Permatang Pauh pada 16 Julai lalu - kawasan tradisi PKR yang dikini diwakili Wan Azizah.

 

Lihat Komen
ADS