Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan belanja lebih RM243 juta selamat rumah terbengkalai

Kerajaan membelanjakan lebih RM243 juta bagi mengambil alih 253 projek perumahan swasta yang terbengkalai di seluruh negara sejak 2009 hingga tahun ini, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 190 projek atau 75 peratus berjaya diselamatkan dan disiapkan sepenuhnya menggunakan dana kerajaan serta kontraktor penyelamat.

"Rumah yang terbengkalai ini ada dua kategori iaitu kos rendah dan sederhana rendah. Yang ini kalau terbengkalai kerajaan akan bantu dengan mengeluarkan dana bagi menyiapkan projek itu manakala bagi rumah yang dijual pada harga melebihi kos sederhana, kerajaan akan lantik kontraktor penyelamat.

"Rakyat kena faham, projek ini tiada kaitan dengan kerajaan, tetapi apabila projek ini bermasalah, kita akan campur tangan untuk membantu rakyat," katanya kepada pemberita selepas dialog bersama barisan kepimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia cawangan Selangor dan Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Noh berkata daripada 253 projek terbengkalai, Selangor merekodkan jumlah tertinggi iaitu 81 projek dengan 54 daripadanya berjaya disiapkan.

"Faktor yang kita kenal pasti dalam isu projek terbengkalai ini ialah pemaju tidak cukup aliran tunai dan tiada strategi yang baik dalam melaksanakan projek… ada yang pada awalnya jangka dapat jual hingga 500 buah rumah, tapi akhirnya dapat jual 200 buah… perkara macam ini membuatkan mereka (pemaju) tidak dapat teruskan projek ini," katanya.

Noh berkata pihaknya yakin dengan pindaan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) (HDA) 1966 yang berkuat kuasa pada 2015, dapat mengurangkan masalah projek perumahan terbengkalai pada masa akan datang.

"Antara pindaan akta itu ialah mewajibkan pemaju mendepositkan tiga peratus daripada kos keseluruhan projek dalam tabung HDA, juruaudit dilantik untuk melihat akaun pemaju yang supaya pemaju yang dilantik benar-benar bertauliah dan stabil," katanya.

-Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS