Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bermula dengan rasa ingin tahu dan membaca seorang remaja mula 'mencari' sesuatu yang lebih daripada apa diajar guru atau orang tuanya.

Pencarian itu berterusan - mulanya secara bersahaja kemudian berubah menjadi serius - sehinggalah bertahun-tahun. Dua puluh tahun kemudian - iaitu sekarang - dia meyakini sesuatu.

Dia tidak menemui tuhan, tapi 'semangat'. Dan hingga kini dia berpegang kepada kepercayaan itu.

"Aku bukan ateis. Bagi aku tuhan itu terlalu luas, tak boleh digambarkan, diberi nama atau sifat.

"Sebab itu aku percaya kepada benda yang aku namakan semangat ini," katanya kepada Malaysiakini.

Lelaki yang enggan didedahkan identitinya itu bukanlah orang biasa atau anak terbiar. Kedua ibu bapanya adalah bekas guru besar.

Dia lahir dan dibesarkan dalam keluarga berpendidikan. Namun apa yang diajarkan kepadanya dirasakan tidak cukup meyakinkan. Pemuda itu mahu lebih lagi.

Mahu bebas memilih

Justeru dia mencari sama ada dengan pembacaan atau bertanya kepada orang tertentu.

"Sebenarnya bagi aku apa yang baik dan buruk itu cuma tafsiran masing-masing yang dibuat mengikut norma budaya setempat. Ia tidak semestinya betul.

"Sama juga dengan konsep tuhan. Kita menterjemah maksud itu mengikut budaya yang kita ada sedangkan ia boleh berbeza-beza.

"Takkanlah sebesar-besar alam semesta ini hanya satu - yang kita faham itu - cuma itu yang betul?" katanya.

Mengakui tidak percaya kepada kehidupan selepas mati, lelaki terbabit sebaliknya yakin manusia bebas memilih apa yang diingini dan dirasakan betul buat dirinya.

Dengan berpegang kepada prinsip itu dia berasa menjadi seorang anak yang lebih baik.

"Aku sekarang sayang gila pada mak aku. Dulu, aku tak alami perasaan ini," katanya.

Dia menambah selain semasa manusia rasa belas dan cintanya juga semakin menebal terhadap hidupan lain. Justeru kadang-kadang semasa menyapu atau membersihkan rumah, dia akan cuba sebaik mungkin untuk tidak membunuh apa-apa waima semut atau labah-labah.

Ditanya mengapa memilih hidup begitu, pemuda yang memang berasal dari Selangor itu menjelaskan, dia bukan mencari pengaruh atau cuba mengembangkan kepercayaannya.

Tak sembah patung

Baginya, manusia perlu dirangsang untuk berfikir dan bertanya, bukannya menjadi pak turut kepada ajaran yang ditanam seseorang.

"Kadang-kadang kau dengar ustaz itu bercakap itu ini dengan yakin seolah-olah dia baru saja berjumpa tuhan, sedangkan apa yang dikatakan itu belum tentu betul," katanya.

Meminati seni sejak kecil pemuda terbabit banyak menghabiskan masa memerhati ajaran agama lain, terutama yang membabitkan patung dan binaan tertentu.

Baginya, rekaan-rekaan itu mempunyai keindahan dan keunikan tersendiri.

"Tapi aku tidaklah menyembah patung atau binaan itu. Aku cuma tertarik dengan seni yang ada pada ajaran berkenaan.

"Aku tetap yakin kepada 'sesuatu' yang aku tak berikan nama," katanya.

Pada masa sama lelaki terbabit juga mengakui dia sendiri tidak ada kepastian bahawa apa yang diyakininya itu adalah benar.

Untuk berhujah dengan orang pun, seboleh-bolehnya dia enggan walaupun beranggapan dia sebenarnya mencipta 'agama' sendiri. Alasannya, dia tak mahu membuat kepalanya serabut.

"Aku yakin dengan apa yang aku percaya dan aku hormat dengan kepercayaan orang lain.

"Apa yang penting ialah kasih sayang sesama makhluk," katanya.

Lihat Komen
ADS