Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images

ULASAN l Akhirnya Presiden Donald Trump membuka mulutnya mengecam semua tindakan kumpulan ekstremis dan perkauman haluan kanan.

Ini berlaku selepas beliau dikritik hebat kerana tidak mengecam tindakan demonstrasi agresif puak haluan kanan dan tindakan ganas yang mengakibatkan kematian dan kecederaan ramai di Charlotesville.

Sebelum pada ini pun, sejak kempen pilihan raya, Trump membela dan tidak mengkritik pihak supremecist ketuanan kulit putih yang menyasarkan bangsa dan agama lain termasuk umat Islam.

Atas kepentingan awam, Trump mengeluarkan kenyataan sebagai ketua negara untuk semua yang sepatutnya menjaga kepentingan semua rakyatnya.

Ini satu pencapaian demi kebaikan umum.

Bagaimana pula dengan perdana menteri kita dengan situasi masalah perkauman dan pandangan ekstrim keagamaan di Malaysia hari ini serta tindakan merusuh di forum bekas perdana menteri Tun Mahathir baru-baru ini?

Bukankah Najib melaungkan konsep wasatiah (kesederhanaan) dan mempelopori pertubuhan Pergerakan Kesederhanaan Global.

Kenapa sehingga kini masih cakap tidak serupa bikin?

Kalau Trump yang dilihat begitu agresif sanggup mengeluarkan kenyataan menegur kumpulan ekstrim dan ganas, kenapa tidak Najib?

Soalnya mengapa?

Isu pihak yang menyatakan halal darah, wajib dihapuskan dan kafir harbi tidak pernah ditegur oleh Najib!

Ini boleh dan telah pun ditafsirkan sebagai Najib merestui semua itu. Soalnya mengapa? Kepentingan politik?

Adakah Najib menunggu peristiwa berdarah seperti Charlottesville sebelum bersuara atau beliau akan terus mengisytiharkan "darurat" apabila ia berlaku?

Inilah pertanyaan di mulut dan minda rakyat Malaysia hari ini apabila memerhati budaya keganasan dan ekstrim yang makin merebak hari ini.

Hari ini kita mempunyai perdana menteri yang bisu tentang isu puak pelampau bangsa dan agama serta keganasan setempat.

Najib perlu ingat yang dia adalah perdana menteri untuk seluruh Malaysia dan bukan hanya untuk Umno dan BN.

Oleh itu tindakan beliau mesti menunjukkan watak seorang negarawan dengan sikap seorang ayah yang perlu menjaga kebajikan dan keselamatan semua di bawah tanggungjawabnya seperti yang dituntut oleh Islam.

Kalau Trump boleh berubah pendirian dan menunjukkan sikap yang lebih bertanggungjawab, kenapa tidak Datuk Seri Najib Razak, seorang Islam dengan pendekatan wasatiah?


RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH anggota parlimen Kuala Terengganu.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS