Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bebas cukai Bukit Kayu Hitam berpotensi jadi Iskandar Johor

Kawasan Bebas Cukai di Bukit Kayu Hitam sekiranya direalisasikan kelak, berpotensi menjadi seperti Wilayah Pembangunan Iskandar (BPI) di Johor, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi serta Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT), Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, ia berikutan kedudukan kawasan itu yang menjadi pintu masuk utama utara Semenanjung dan merupakan sebahagian daripada Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ).

"Melalui beberapa projek mega di Bukit Kayu Hitam seperti Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP), pembinaan kilang tayar serta pembangunan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) yang baharu, ia mampu menjadi pelengkap kepada kawasan bebas cukai yang akan diwujudkan kelak.

"Tujuan utama membangunkan kawasan bebas cukai ini adalah untuk menarik kedatangan ramai pelancong dari Thailand dan kalau dibandingkan dengan kawasan sempadan lain, ia (Bukit Kayu HItam) merupakan 'bandar sempadan paling dinamik'," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Zaini Japar (BN-Bukit Kayu Hitam) yang mahu tahu persediaan kerajaan negeri untuk menghadapi pelbagai kemungkinan berikutan ketika ini terdapat perancangan beberapa projek mega di kawasan itu.

Kawasan bebas cukai itu seluas 4,763 hektar, dengan 2,870 hektar daripadanya dimiliki Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan selebihnya Northern Gateway Sdn Bhd.

Mengikut perancangan, antara komponen dalam kawasan itu ialah zon industri, perumahan mampu milik dan mewah, kompleks beli belah, taman rekreasi dan pusat pendidikan yang dilihat akan mampu memberi pelbagai limpahan ekonomi kepada penduduk di sekitar kawasan itu selain lebih 5,000 peluang pekerjaan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri katanya, akan mempertimbangkan penubuhan satu badan yang akan menguruskan kawasan itu secara lebih teratur dan sistematik, sesuai dengan status kawasan itu yang ketika ini rancak dengan perancangan beberapa projek mega lain.

Badan itu, kata Ku Rahman, mungkin boleh diuruskan oleh pemilik tanah di kawasan itu iaitu PKNK atau pun Northern Gateway Sdn Bhd.

"Kita akan menggunakan pengalaman menguruskan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) yang seperti kita lihat sekarang ini begitu maju dan rancak dibangunkan mengikut fasa," katanya.

Setakat ini, kerajaan negeri sedang dalam persediaan untuk membentangkan projek kawasan bebas cukai itu kepada Kementerian Kewangan, bagi mendapatkan kelulusan dasar.

 

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS