Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
‘HARAPAN hanya mahu gunakan PAS’
Diterbitkan:  Aug 15, 2017 5:41 PM
Dikemaskini: 9:45 AM

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali tidak yakin
Pakatan Harapan sebagai wadah yang mampu menyelamatkan negara daripada pelbagai kerosakan ekonomi, politik dan sosial melalui pendekatan Islam.

Malah, menurut beliau tindakan HARAPAN yang mendekati PAS hanyalah mahu menggunakan jentera pilihan raya parti itu bagi menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi.

“Sebarang perbincangan kerjasama pilihanraya yang kononnya untuk menjatuhkan BN hakikatnya hanya untuk menyelamatkan kerusi parti tertentu dengan menjadikan jentera pilihanraya PAS sekali lagi kuda tunggangan sepertimana yang berlaku dalam Pakatan Rakyat.

“Apabila mereka berjaya memenangi kerusi sekali lagi agenda Islam akan ditendang dan diperangi. PAS akan diserang lagi dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan,” kata Khairuddin menerusi satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Datuk Seri Azmin Ali mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pada pertemuan itu, Azmin yang adalah pengarah pilihan raya HARAPAN mengakui terdapat perbincangan tidak rasmi antara kedua-dua pihak.

Malah menteri besar Selangor itu berkata, hubungan dua hala perlu dipertingkatkan dan titik pertemuan harus dicari antara kedua-dua pihak secepat mungkin ketika pilihan raya umum semakin hampir.

Mei lalu, Majlis Syura Ulama PAS menerima usul muktamar parti itu untuk memutuskan kerjasama dengan PKR selepas mendakwa sekutunya banyak melanggar syarat kerjasama.

Mohd Khairuddin turut berkata, PAS terus komited mencanangkan kepada rakyat penyelesaian Islam menerusi Budaya Politik Matang Sejahtera dan dokumen Wawasan Induk Negara Sejahtera.

Katanya, ucapan dasar presiden PAS dalam muktamar lalu bertajuk Sejahtera Bersama Islam sedang dihayati oleh ahli dan pimpinan PAS di semua peringkat bagi menghadapi PRU-14.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS